Sindiket ‘Boy Lembu’ tumpas, lori buruk jadi stor dadah

5 Feb 2026, 8:39 AM
Sindiket ‘Boy Lembu’ tumpas, lori buruk jadi stor dadah

SHAH ALAM, 5 FEB: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali ‘Boy Lembu’ yang menjadikan sebuah lori buruk di tepi jalan sebagai lokasi simpanan dadah, dalam serbuan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata sindiket itu terbongkar selepas penahanan tiga lelaki, termasuk seorang warga asing, di Jalan Pengkalan Utama 4, Lahat, kira-kira jam 7 malam Selasa lalu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas sebuah lori buruk yang ditinggalkan di kawasan berkenaan sejak empat tahun lalu membawa kepada penemuan 33 bungkusan plastik hijau dan lut sinar mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan berat keseluruhan 32 kilogram.

“Dadah itu dianggarkan bernilai RM94,000 dan mampu membekalkan kira-kira 42,000 penagih,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Berita Harian.

Menurut Abang Zainal Abidin, sindiket ‘Boy Lembu’ dipercayai aktif sejak Januari tahun lalu dan menggunakan lori berkenaan sebagai stor simpanan sementara bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Keadaan lori itu kelihatan seperti tidak pernah digunakan dan diletakkan di tepi jalan dalam tempoh lama. Ia digunakan semata-mata sebagai tempat simpanan dadah.

“Lori tersebut mempunyai pemilik dan didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang beroperasi di Butterworth,” katanya.

Beliau berkata modus operandi menggunakan lori buruk sebagai stor simpanan dadah merupakan taktik baharu yang belum pernah dikesan sebelum ini, selain dadah dipercayai diproses dan dibungkus di lokasi lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek warga asing berusia 35 tahun positif methamphetamine dan amphetamine, manakala dua lelaki tempatan berusia 17 dan 50 tahun didapati negatif.