Asas fahami ekonomi

7 Feb 2026, 7:00 AM
Asas fahami ekonomi
Asas fahami ekonomi

Britain mahu China membuka negara itu untuk perdagangan bebas hujung abad ke-18. Ia memaksa China membuka lebih banyak pelabuhan, bukan hanya sebuah di Canton (Guangzhou), untuk eksport barangan dari kuasa Eropah itu.

Tetapi maharaja China enggan melayan kehendak Britain. Ia tidak mahu membuka ekonominya untuk dikuasai pedagang asing. Dengan nada yakin, China menyatakan ia tidak perlu eksport itu kerana negaranya sudah cukup.

Britain berang, lalu ia mengimport candu dari India dan menjual di China hingga penduduknya ketagihan dan lemah. China bimbang, justeru mengharamkan import dadah itu pada 1799.

Larangan ini tidak berjaya, maka China melakukan sabotaj pada 1838 dengan menyeludup lebih banyak candu untuk mengganggu pasaran. Sebagai tindak balas, Britain melancarkan perang pada 1840.

Dua tahun kemudian, setelah China kalah, Britain memaksa perdagangan bebas termasuk candu ke atas negara tersebut. Perang Candu tercetus lagi antara 1856 hingga 1860.

Maka bermulalah zaman yang digelar "100 tahun penghinaan" ke atas China. Melalui Perjanjian Nanjing, China terpaksa menggadai harga diriya demi "perdagangan bebas" kuasa Eropah.

A large container vessel is docked at the West Port Terminal during a visit to Port Klang, on June 26, 2025. — Picture by BERNAMA

Kisah ini membuka bab 12 buku menarik, Memahami Ekonomi: Panduan Termudah untuk Orang Awam (2025), terjemahan Economics: The User's Guide (2014), karya profesor ekonomi Universiti Cambridge.

Buku panduan ini tidak berpura-pura dan berbelit-belit. Terus terang dan jujur. Bahasanya mudah dan lancar. Contoh dan sejarahnya pula jelas. Liputan teorinya asasi dan luas.

Kemunculan kapitalisme

Kekuatan buku ini terletak pada kupasan sejarah dan asal-usul teori ekonomi yang disampaikan dengan mudah. Lebih tepat, Ha-Joon Chang bercerita dengan cara berfikir orang ramai.

Yakni buku ini untuk kita semua yang tidak terlatih dalam bidang ekonomi di kampus tetapi berasa hendak faham apa itu ekonomi sebab kesan-kesannya memang kuat dalam kehidupan harian kita.

Memahami Ekonomi: Panduan Termudah untuk Orang Awam

Buku ini dimulakan dengan Revolusi Perindustrian (1760-1840) di Britain dan buku berpengaruh besar zaman itu, The Wealth of Nations karya Adam Smith (1723-1790), asas memahami ekonomi moden.

Namun ia menceritakan juga asal-usul kemunculan kapitalisme beberapa ratus sebelum Smith hingga zaman penjajahan, dari Amerika Selatan hingga ke Asia, untuk pembolotan sumber.

Fajar kebangkitan Eropah itu, khasnya dalam bidang sains dan teknologi yang memungkinkan Revolusi Industri, tidak dapat elak daripada ilmu dunia Islam-Arab dan Asia.

"Kebanyakan gagasan [matematik dan sains] ini pada mulanya dipinjam dari dunia Arab dan Asia sebelum orang Eropah Barat melakukan pembaharuan mereka sendiri pada abad ke-16 dan ke-17," kata Chang pada muka surat 27.

Tanggapannya ini sama dengan pengarang Cetera Falsafah (2025), terjemahan The Story of Philosophy (1998), satu lagi judul terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor.

Asas ilmu inilah yang melahirkan era Kebangkitan Semula (Renaissance) di Itali (abad 15 dan 16) yang kemudiannya mencetuskan Zaman Pencerahan (abad 17 dan 18).

Kebangkitan ekonomi

Kebangkitan Semula melahirkan Revolusi Sains, sementara Pencerahan melahirkan Revolusi Industri dan, kemudian, ekonomi kapitalisme yang memuncak pada hujung abad ke-19.

Semuanya disampaikan dalam Memahami Ekonomi: Panduan Termudah untuk Orang Awam dengan menarik, jelas dan menghiburkan.

Karya bekas profesor ekonomi ini, bertugas lebih 30 tahun di Universiti Cambridge hingga 2021, disampaikan dalam jalan cerita yang mudah bagi menghuraikan konsep-konsep penting.

Istilah utama pula diceritakan dengan contoh yang mudah termasuk mengaitkan kisah daripada novel dan filem.

Misalnya novel terkenal One Hundred Years of Solitude karya Gabriel Garcia Márquez digunakan untuk menghuraikan ungkapan "republik pisang" atau peranan syarikat transnasional Barat dalam eksploitasi ekonomi penduduk peribumi di Amerika Tengah.

Ha-Joon Chang juga mengutip novel klasik Gone with the Wind, karya Margaret Mitchell, untuk menggambarkan perubahan ekonomi dan perang pada abad ke-19 dalam bab sejarah ekonomi.

Idea, konsep dan istilah ekonomi dikupas dalam evolusi sejarah bagi menjelaskan lagi kepentingannya. Selain itu, pengarang juga menceritakan bagaimana mazhab pemikiran ekonomi berkembang dalam tempoh tersebut.

Dari idea ekonomi klasik (hujung abad ke-18 hingga lebih separuh abad ke-19) kemudiannya neoklasik (mulai dekad 1870-an), hujah Karl Marx (pertengahan abad ke-19) dan kini aliran analisa gelagat (behavioural economics).

Aliran terkini itu berhujah manusia tidak sepenuhnya rasional dalam membuat keputusan dan pilihan ekonomi. Semuanya ini disampaikan dalam empat bab terawal, khasnya 3 dan 4.

Ada lagi lapan bab menarik, antaranya isu pendapatan dan kegembiraan kita (bab 6), bagaimana bank berperanan (bab 8), masalah kemiskinan dan jurang kekayaan (bab 9), kerja dan pengangguran (bab 10), apa itu negara dan peranannya dalam ekonomi (bab 11) dan akhirnya bagaimana perdagangan antarabangsa bergerak.

Bagi kita yang tidak cukup faham masalah perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China atau perdebatan isu tarif saat ini, bab 12 dapat merungkai semua kekeliruan dan pertanyaan kita.

Kesimpulannya, ekonomi ini bukan kajian ilmu yang kaku dan piawai. Macam-macam teori diperlukan untuk menjelaskan perkembangan yang rumit ini.

Tiada satu teori boleh menjelaskan semua perkembangan atau masalah ekonomi. Malah ada teori yang silap atau kurang relevan.

Buku IBDE ini, tajaan Kerajaan Selangor, memang seronok dibaca dan mengasyikkan sebab diolah untuk orang ramai, bukan ditulis seperti buku teks ekonomi untuk mahasiswa.