Malam Nisfu Sya’ban atau malam ke-15 dalam bulan Sya’ban, menduduki tempat yang istimewa dalam sanubari umat Islam, khususnya di Nusantara. Ia sering dianggap sebagai 'malam pengampunan' atau 'malam penentuan nasib' bagi tahun yang mendatang.
Namun, di sebalik kemeriahan sambutannya, wujud perbincangan ilmiah yang mendalam dari sudut pendalilan dan metodologi hukum.
Tulisan ini akan mengupas fadhilat dan sambutan Nisfu Sya’ban menerusi lensa al-Quran, hadis serta disiplin Usul Fiqh dan Maqasid Syariah bagi memberikan kefahaman yang seimbang dan harmoni.
Secara literal, al-Quran tidak menyebut istilah 'Nisfu Sya’ban'. Bagaimanapun, sebahagian ahli tafsir seperti Ikrimah mengaitkan permulaan surah Ad-Dukhan dengan malam ini:
"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat..." (Surah ad-Dukhan: 3)
Meskipun majoriti mufassirin termasuk Ibnu Abbas, mereka menegaskan 'malam yang berkat' tersebut merujuk kepada Lailatul Qadar di bulan Ramadan, pandangan yang mengaitkannya dengan Nisfu Sya’ban tetap wujud dalam khazanah tafsir.
Menurut pandangan ini, pada malam inilah urusan tahunan mula disusun sebelum dilaksanakan pada Lailatul Qadar.
Walaupun pandangan majoriti lebih kuat, kaitan ini menunjukkan betapa ulama terdahulu memandang tinggi kedudukan bulan Sya’ban sebagai jambatan menuju Ramadan.

Perbincangan mengenai Nisfu Sya’ban banyak bertumpu kepada literatur hadis. Terdapat puluhan riwayat yang menyentuh tentang kelebihan malam ini.
Antara yang paling masyhur adalah hadis daripada Mu’az bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"...Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia mengampuni semua hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan orang yang bermusuhan (mushahin)." (HR Thabrani & Ibnu Hibban)
Secara teknikal, para ulama hadis berbeza pendapat mengenai status riwayat-riwayat ini. Ada yang menilainya sebagai dhaif (lemah), namun ramai ulama seperti al-Albani dan Ibnu Hibban berpendapat bahawa himpunan jalan-jalan riwayat tersebut saling menguatkan antara satu sama lain sehingga mencapai tahap Hasan atau Sahih.
Kesimpulannya, terdapat asas yang kukuh dalam sunnah untuk mempercayai bahawa malam ini mempunyai keistimewaan dari sudut pengampunan dosa.
Kelebihan amalan
Dalam disiplin Usul Fiqh, timbul persoalan: Bolehkah kita mengamalkan ibadah khusus pada malam Nisfu Sya’ban berdasarkan hadis yang dibincangkan?
Ulama menggunakan kaedah Al-Ihtiyat (berwaspada) dan Fadhail al-Amal (kelebihan amal).
Majoriti ulama membenarkan penggunaan hadis dhaif dalam bab galakan beribadah selagi ia tidak melibatkan penetapan hukum halal dan haram yang besar.
Selain itu, terdapat kaedah: 'Al-Aslu fil 'Ibadah' : Secara umumnya, solat sunat, zikir, dan membaca al-Quran adalah ibadah yang dituntut bila-bila masa.

Melakukannya secara berjemaah atau pada waktu tertentu (seperti Nisfu Sya’ban) dikira sebagai 'Takhsis' (pengkhususan) yang bersifat urf (adat setempat) atau bertujuan untuk menghidupkan syiar, bukan satu kewajipan yang setaraf dengan solat fardu.
Oleh itu, sambutan Nisfu Sya’ban di masjid-masjid dilihat sebagai satu wasilah (perantara) untuk mengumpulkan umat Islam dalam ketaatan, bukannya satu 'rekaan' agama yang sesat, selagi tidak diiktikadkan sebagai perintah wajib daripada Nabi SAW.
Nisfu Sya’ban adalah anugerah masa yang diberikan untuk kita berhenti sejenak dan melihat kembali kualiti hubungan kita dengan Pencipta dan sesama makhluk.
Walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai ritual khusus, inti patinya adalah doa, taubat, dan perpaduan.
Secara syarak, tidak salah untuk berkumpul di masjid, membaca al-Quran, dan berdoa memohon keberkatan umur serta rezeki, asalkan kita tetap berpijak di atas landasan akidah yang sahih - meyakini hanya Allah yang berkuasa menentukan segalanya.


