SHAH ALAM, 5 FEB: Industri kenderaan rekreasi (RV) komersial yang berkembang pesat bakal memberi manfaat kepada sektor pelancongan negeri, kata EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim.
Beliau memberitahu kerancakan itu ekoran kesediaan kerajaan untuk memberi pelesenan dan kawal selia untuk komersial bagi merancakkan industri RV.
Justeru, beliau menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menyediakan taman RV seiring dengan perkembangan pesat industri pelancongan jarak jauh.
Namun katanya, penyediaan kemudahan itu tertakluk kepada kemampuan serta keupayaan setiap PBT melibatkan perancangan, kemudahan dan sumber yang tersedia.
“Orang yang melancong datang ke situ boleh jadikan taman-taman ini satu tempat untuk mereka ambil gambar dan sebagainya.
“Ia boleh menjadi ‘hotspot’ untuk ambil gambar. Jadi kita usaha, galak PBT yang berkemampuan mereka wujudkan lebih banyak taman-taman rekreasi,” katanya kepada Media Selangor.

Suee Lim menjelaskan Selangor ada banyak segmen pelancongan domestik dan antarabangsa, merangkumi sektor ekopelancongan, pelancongan mesyuarat dan perniagaan serta agropelancongan.
Katanya, antara tarikan utama termasuk sektor agropelancongan di Selangor Food Valley dan Sekinchan, selain ekopelancongan di Kuala Selangor seperti Sky Mirror dan Kelip-Kelip.
“Turut menjadi tumpuan ialah destinasi pantai seperti Tanjung Sepat, Pulau Carey termasuk perkampungan budaya serta pelbagai tarikan makanan yang menjadi segmen penting,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dr Ani Ahmad berkata taman RV di Bagan Lalang, Sepang kini dalam fasa tambah baik dan dijangka dibuka semula pada Mac.
Katanya, taman itu akan dilengkapi blok turapan konkrit di ruang parkir untuk keselesaan hasil peruntukan tambahan
RM500,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Jadi bila ada interlocking (blok turapan konkrit) itu kemudahan akan lebih selesa dan kemas dengan penaiktarafan infrastruktur ini.
“Insya-Allah bila interlocking ini siap dalam Mac, kita sudah boleh panggil semulalah untuk mereka yang berminat merasakan keindahan pantai menggunakan RV atau karavan ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pelesenan dan pengawalseliaan RV bagi tujuan komersial termasuk sebagai KSPP di Semenanjung serta KSP di Sabah, Sarawak dan Labuan akan berkuat kuasa bermula 1 Januari.
Katanya, pelaksanaan dasar baharu itu bagaimanapun terhad kepada kenderaan baharu sahaja sama ada pemasangan tempatan (CKD) atau import sepenuhnya (CBU).
Jelasnya, pelaksanaan penggunaan RV bagi tujuan komersial hanya dibenarkan untuk kenderaan baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026. Bagi kenderaan sedia ada yang sudah berdaftar, ia tidak dibenarkan digunakan bagi tujuan komersial.
Namun, bagi RV persendirian yang didaftarkan sebelum 31 Disember 2025 dan ingin dikomersialkan, ia tertakluk kepada syarat usia maksimum 15 tahun serta pemeriksaan teknikal ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).





