SHAH ALAM, 5 FEB: Penggunaan kenderaan rekreasi (RV) bukan lagi hobi eksklusif mahupun simbol gaya hidup, sebaliknya berupaya merangsang sektor perniagaan dan pelancongan tempatan.
Presiden Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia Farman Othman berkata industri RV kini memasuki fasa peralihan ekoran kerajaan membenar pelesenan dan kawal selia untuk komersial.
Katanya, keputusan itu berupaya menjadikan Malaysia sebagai destinasi mesra RV sejajar perkembangan pelancongan global jika operasinya teratur selain faktor jaminan keselamatan.
Beliau menyifatkan langkah tersebut yang turut meliputi Kenderaan Sewa dan Pandu Pelancongan di Semenanjung serta Kereta Sewa Pandu di Sabah, Sarawak dan Labuan tepat pada masanya.
“Industri RV boleh pergi jauh. Di luar negara seperti Amerika Syarikat contohnya, pendapatan cecah AS$21 bilion untuk RV. Saya tidak nampak kenapa Malaysia tidak boleh buat.
“Jika satu daerah mempunyai 50 tapak RV pada kadar sewa RM50 sehari, hasil bulanan mencecah RM100,000 hingga RM200,000. Bayangkan jika lebih 100 daerah melaksanakan konsep sama.
“Pendapatan kasar industri RV boleh mencapai RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun,” katanya kepada Media Selangor.

Pada 23 September tahun lalu, perkhidmatan RV dibenarkan untuk dilesenkan dan dikawal selia bagi kegunaan komersial berkuat kuasa 1 Januari, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Menurut beliau, dasar baharu penggunaan RV itu turut meliputi Kenderaan Sewa Pelancong Pandu Sendiri (KSPP) di Semenanjung dan Kereta Sewa Pandu (KSP) di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Farman juga memberitahu kejayaan industri itu bergantung kepada pengurusan profesional dan sistematik, bukan sambil lewa yang merugikan semua pihak bahkan menjejaskan industri.
Beliau menegaskan aspek keselamatan kenderaan termasuk menggunakan (sambungan) wayar tidak sepatutnya boleh menyebabkan kebakaran dan kerajaan perlu membuat semakan dengan teliti.
Katanya, kelonggaran boleh diberi kepada kenderaan RV terpakai untuk kegunaan komersial termasuk kenderaan sewaan komersial ditetapkan berusia maksimum 15 tahun pada masa ini.
“Mungkin boleh difikirkan semula. Kalau orang beli dengan harapan untuk buat sewa tetapi tidak dapat kerana biasanya RV yang dibeli dan dibawa masuk ke Malaysia (jenis) terpakai.Mungkin syarat itu boleh dilonggarkan sedikit sesuai dengan peredaran masa,” katanya lagi.
Keselamatan dan penyelenggaraan kenderaan jadi keutamaan
Pengusaha RV Ahmad Hazwan Zahari pula berkata sewaan RV komersial yang bermula 2026 dapat memastikan keselamatan pengguna selain memacu pertumbuhan industri secara lebih tersusun.
Katanya, dasar itu juga memastikan kenderaan membuat penyelenggaraan mengikut jadual, membuat pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan tidak melebihi had usia.

“Ini penting kerana sebelum ini ada RV berusia 30 hingga 40 tahun disewakan menyebabkan risiko kerosakan di tengah perjalanan dan membahayakan penyewa,” katanya.
Beliau menjelaskan kaedah sewaan sebelum ini hanya atas dasar kepercayaan sebagai pemilik, tanpa perlindungan insurans komersial yang mendedahkan keduadua pihak kepada banyak risiko.
Ahmad Hazwan memberitahu pengkomersialan sewaan RV komersial turut membuka peluang penjanaan pendapatan baharu kepada pemilik yang tidak menggunakan kenderaan mereka secara tetap.
Katanya, kadar sewaan komersial mencecah RM1,000 sehari dan memberi potensi pendapatan antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan, bergantung kepada tempoh sewaan dan kos penyelenggaraan.
Beliau mencadangkan kerajaan melalui penyediaan skim pembiayaan atau pinjaman untuk pembelian RV berikutan kebanyakan institusi kewangan tidak memberi pinjaman untuk pembelian RV





