Anwar: Pendidikan tinggi perlu semurah mungkin untuk pelajar miskin

4 Feb 2026, 11:29 AM
Anwar: Pendidikan tinggi perlu semurah mungkin untuk pelajar miskin

SHAH ALAM, 4 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akses kepada pengajian tinggi wajar ditawarkan pada kos serendah mungkin, terutama kepada pelajar daripada keluarga miskin dan golongan memerlukan bantuan.

Bagaimanapun, beliau berkata beban hutang kerajaan yang mencecah puluhan bilion ringgit menyebabkan bantuan pendidikan ketika ini perlu dilaksanakan secara bersasar dan berperingkat, lapor Berita Harian.

Menurut Anwar, kerajaan telah meningkatkan jumlah pelajar miskin yang menerima pendidikan percuma daripada 5,000 kepada 10,000 orang tahun lalu, selain berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi menambah baik bantuan kepada golongan berkenaan.

“Pendidikan sepatutnya semurah mungkin, tetapi kita juga perlu mengambil kira keupayaan kewangan negara. Isu seperti penukaran PTPTN kepada biasiswa untuk pelajar cemerlang memang dipertimbangkan, namun perlu diselesaikan mengikut peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab program Temu Anwar@ Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini hari ini.

Dalam program sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan semua badan dan yayasan pendidikan yang memenuhi syarat akan diberikan pengecualian cukai selama 10 tahun.

TAR UMT merupakan antara institusi pendidikan yang menerima manfaat daripada pengumuman tersebut.