Tiada permit sah, asrama pekerja asing berhampiran sekolah diarah kosong

4 Feb 2026, 1:00 PM
Tiada permit sah, asrama pekerja asing berhampiran sekolah diarah kosong

SHAH ALAM, 4 FEB: Sebuah asrama pekerja asing di Bandar Baru Salak Tinggi diberi tempoh 24 jam untuk dikosongkan selepas didapati beroperasi tanpa Permit Perakuan Penginapan yang sah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata tindakan tegas itu diambil susulan aduan dan petisyen ibu bapa serta guru Sekolah Menengah Khalifah Model Secondary School (KMSS) mengenai kebimbangan penempatan pekerja asing berhampiran sekolah.

Menurut beliau, isu berkenaan diberi perhatian serius kerana ia melibatkan keselamatan pelajar, kesejahteraan komuniti setempat serta pematuhan undang-undang.

“Kementerian memandang serius isu tersebut dan saya turun padang meninjau lokasi bersama beberapa agensi penguat kuasa sebelum mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat tersebut melibatkan Jabatan Tenaga Kerja Daerah Sepang (JTKDS), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Pejabat Tanah dan Daerah Sepang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Selangor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu turun padang meninjau lokasi bersama beberapa agensi penguat kuasa. Foto Facebook Aiman Athirah Sabu

Beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati majikan gagal menyediakan penginapan pekerja yang diperakukan, termasuk tidak memiliki perakuan penginapan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

"Sehubungan itu, majikan diarahkan memindahkan semua pekerja terbabit dengan segera dalam tempoh 24 jam," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang menegaskan, tindakan pendakwaan boleh diambil mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sekiranya pihak terlibat gagal mematuhi arahan ditetapkan.

Dalam pada itu, MPSepang turut diminta memastikan semua urusan berkaitan dilaksanakan mengikut peraturan, manakala siasatan dan tindakan lanjut akan diteruskan terhadap semua pihak terlibat termasuk pemilik premis.

Terdahulu, pihak KMSS mengemukakan aduan berhubung kewujudan lima unit hostel pekerja asing yang terletak bersebelahan sekolah, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan warga sekolah terhadap aspek keselamatan pelajar.