SHAH ALAM, 4 FEB: Siasatan awal polis mendapati suspek lelaki yang disyaki membunuh ibu kandungnya dipercayai dibebani masalah hutang, termasuk pinjaman dengan along yang dibuat di Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata suspek turut berdepan tekanan kewangan lain, termasuk hutang bagi melunaskan sewa motosikal p-hailing berjumlah RM700 sebulan serta bayaran sewa bilik.
Bagaimanapun, beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain menumpukan kepada isu hutang yang dikenal pasti setakat ini.
Selain itu, katanya, polis juga masih giat mengesan barang kes yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Dalam pada itu, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kesan luka tikaman di bahagian dada (stab wound to the chest).
“Luka tikaman pada paru-paru kiri dan jantung yang menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk sehingga boleh mengakibatkan kematian dalam tempoh masa yang singkat.
“Doktor turut mengesahkan kecederaan luka tikam dan luka hiris pada badan si mati adalah disebabkan oleh objek keras dan tajam seperti pisau dapur,” katanya seperti dilapor BH.
Media sebelum ini melaporkan, Zahrullail Basir, 52, yang juga eksekutif operasi sebuah bank, ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman di badan dan dipercayai dibunuh oleh anaknya sendiri pada Isnin lalu.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang juga anak sulung mangsa pada jam 8.34 malam kelmarin di dalam sebuah bas persiaran yang sedang dalam perjalanan menuju ke Selangor.
Suspek berusia 29 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 9 Februari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


