Sultan Selangor berkenan terima menghadap bekas banduan diampuni, raih PhD dalam penjara

4 Feb 2026, 7:42 AM
Sultan Selangor berkenan terima menghadap bekas banduan diampuni, raih PhD dalam penjara
Sultan Selangor berkenan terima menghadap bekas banduan diampuni, raih PhD dalam penjara

SHAH ALAM, 4 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Dr Malik Yatam, bekas banduan pertama di Malaysia yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman penjara.

Menurut Selangor Royal Office, pertemuan hampir sejam itu merupakan yang pertama seumpamanya antara Sultan Selangor dengan seorang bekas banduan yang menerima pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Baginda pada 2024.

Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana hening, sedih dan pilu, dengan Baginda berkenan bertanyakan khabar mengenai perkembangan kehidupan Malik selepas dibebaskan serta perancangan masa hadapan beliau.

Baginda menzahirkan rasa amat terharu dengan perjalanan hidup Malik dan berpandangan bahawa beliau layak diberikan peluang kedua untuk membina kehidupan baharu.

“Beta amat terharu dengan kisah perjalanan hidup Malik dan merasakan beliau layak untuk diberi peluang kedua.

“Beta telah mempertimbangkan pengampunan ini sebaik mungkin melihat kepada semua faktor yang telah dikemukakan kepada Beta,” titah Baginda menerusi kenyataan, hari ini.

Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana hening, sedih dan pilu. Foto Facebook Selangor Royal Office

Malik sebelum ini dibebaskan pada 11 Disember 2024 selepas menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama 24 tahun, iaitu hukuman tanpa tarikh pembebasan.

Baginda berkenan mengurniakan pengampunan penuh kepada Malik sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor 2024, selepas mempertimbangkan semua faktor yang telah disembah maklumkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.

Malik mula menjalani hukuman penjara pada tahun 2001 ketika berusia 14 tahun dan tidak dijatuhkan hukuman mati kerana masih di bawah umur 18 tahun semasa kesalahan dilakukan.

Kini berusia 39 tahun, beliau berjaya memperoleh PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, hasil usaha melanjutkan pengajian ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Dalam pertemuan tersebut, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan Malik agar sentiasa menjaga nama baik keluarga, selain terus bersemangat dalam memperbaiki taraf hidup dan menyumbang secara positif kepada masyarakat.