Anwar: Dakwaan Malaysia serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia satu penipuan

4 Feb 2026, 4:46 AM
Anwar: Dakwaan Malaysia serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia satu penipuan

SHAH ALAM, 4 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan bahawa Malaysia menyerahkan seluas 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan, Sabah–Kalimantan adalah tidak benar dan satu penipuan.

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia terikat dengan perjanjian sempadan yang telah dimeterai sejak tahun 1915, dan dakwaan tersebut bercanggah dengan fakta serta rekod sedia ada, lapor Berita Harian.

Menurut Anwar, kawasan yang dipertikaikan itu telah lama dikenal pasti dalam peta dan dokumen rasmi sejak perjanjian berkenaan, dan Malaysia tidak pernah mengesahkan kawasan tersebut sebagai milik negara ini, malah tidak pernah menuntutnya.

“Itu tidak kita sahkan, tetapi tidak pernah kita tuntut sebagai milik Malaysia,” katanya pada Sesi Penerangan Khas Parlimen mengenai Isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Anwar menafikan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan Malaysia menyerahkan lebih 5,000 hektar tanah di kawasan sempadan Sabah-Kalimantan kepada Indonesia.

Terdahulu, media melaporkan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, dikatakan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.