SHAH ALAM, 3 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menegaskan kerja yang sedang dilaksanakan di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang bukan pembangunan baharu, sebaliknya bertujuan mengurangkan risiko kegagalan cerun demi keselamatan penduduk.
MPAJ memaklumkan, kerja-kerja tersebut melibatkan penstabilan cerun semula jadi selepas analisis teknikal mendapati tahap Faktor Keselamatan (Factor of Safety – FOS) cerun berada di bawah paras minimum yang ditetapkan.
“Analisis mendapati Faktor Keselamatan cerun semula jadi tidak mencapai keperluan minimum 1.3, justeru kerja melandaikan cerun perlu dilaksanakan bagi mencapai FOS 1.5 seperti yang disarankan dalam garis panduan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut MPAJ, kelulusan kerja berkenaan telah diperakukan oleh Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Negeri Selangor (JTPKSAS) selepas melalui penelitian terperinci pelbagai agensi teknikal di peringkat negeri dan persekutuan.
Pihak berkuasa tempatan itu turut menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan atau permohonan pembangunan diluluskan di kawasan berkenaan setakat ini.
“Kelulusan diberikan hanya bagi tujuan mengatasi risiko kestabilan cerun dan meningkatkan tahap keselamatan struktur tanah,” jelas MPAJ.
Kerja-kerja penstabilan cerun tersebut bermula pada Oktober 2024, dilaksanakan secara tiga fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2026.
Bagi memastikan ketelusan pelaksanaan projek, MPAJ memaklumkan pemantauan berkala akan terus dijalankan di tapak projek, selain mengadakan perjumpaan bersama penduduk setiap tiga bulan.
“MPAJ sentiasa membuat pemantauan berkala dan menetapkan perjumpaan bersama penduduk bagi melaporkan kemajuan kerja serta mendengar pandangan berkaitan pelaksanaan projek ini,” katanya.
Dalam pada itu, MPAJ menggalakkan penduduk setempat untuk menghadiri sesi perjumpaan berkenaan bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini berkaitan kerja-kerja yang sedang dijalankan.
Terdahulu, isu penstabilan cerun di kawasan berkenaan menjadi tumpuan menerusi laporan khas sebuah portal berita yang menyorot kebimbangan penduduk susulan kerja-kerja penggondolan bukit.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan penggunaan “teknologi baharu” bagi kerja-kerja penstabilan cerun yang didakwa belum pernah dipraktikkan sebelum ini.


