SHAH ALAM, 3 FEB: Cadangan dasar mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal berpotensi membuka ruang lebih luas kepada pemimpin muda, termasuk seawal usia 30-an, untuk menerajui pentadbiran negara pada masa depan.
Penganalisis politik dari Pusat Perdana, Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata langkah reformasi itu selari dengan amalan negara maju yang mengetengahkan pemimpin muda menerusi pengehadan tempoh jawatan ketua kerajaan.
Menurutnya, dasar berkenaan memudahkan peralihan kepimpinan secara lebih terancang, sekali gus memastikan kesinambungan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dapat diteruskan oleh pemimpin baharu.
"Had dua penggal jawatan Perdana Menteri membolehkan pemimpin muda bersedia mengambil alih pemerintahan seperti di negara Barat khususnya di Eropah. Ada yang awal 30-an sudah jadi Perdana Menteri.
"Di Malaysia juga kita mempunyai pemimpin muda yang boleh diketengahkan sebaliknya jika Perdana Menteri tiada hadnya, kemungkinan ada yang berusaha untuk mengekalkan kuasanya.
"Sebab itu, dalam sejarah kita ada Perdana Menteri yang lebih 20 tahun menjadi ketua eksekutif," katanya seperti dilapor BH Online.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dilaporkan berkata kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuh dasar mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal penuh.
Cadangan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat mingguan Jemaah Menteri, dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan berkenaan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Dalam pada itu, Mazlan berkata penetapan tempoh dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri merupakan langkah positif bagi memastikan masa depan negara lebih cemerlang.
Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan kemajuan Malaysia dalam transformasi pentadbiran selaras dengan amalan demokrasi negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat (AS), malah Indonesia yang turut mengamalkan dasar sama.
"Jadi sebenarnya apa yang dilaksanakan di negara ini adalah selari dengan perkembangan demokrasi dunia kerana apabila sesuatu Perdana Menteri dihadkan tempoh dua penggal ini akan mewujudkan pentadbiran dan aspek tatakelola lebih telus.
"Ini kerana Perdana Menteri akan dibatasi hanya dua penggal, sekali gus mengelakkan salah laku politik, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya.
Mazlan turut berpandangan tempoh dua penggal adalah mencukupi bagi seorang Perdana Menter merancang, melaksana, menilai serta menyampaikan dasar sebelum kepimpinan itu diwarisi oleh pemimpin seterusnya.




