Hampir 9,000 kes penipuan kerja direkodkan, WhatsApp, Telegram antara tertinggi

2 Feb 2026, 2:43 PM

SHAH ALAM, 2 FEB: Sebanyak 8,911 kes penipuan tawaran pekerjaan direkodkan sepanjang tahun lalu dengan platform WhatsApp dikenal pasti sebagai medium utama digunakan sindiket penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata berdasarkan statistik Januari hingga Disember 2025, WhatsApp menyumbang 3,822 kes atau 43 peratus daripada keseluruhan laporan diterima.

Menurut beliau, Telegram mencatat 2,224 kes, diikuti Facebook (1,638), Instagram (515), Google atau laman sesawang (316) serta panggilan telefon (225), manakala selebihnya membabitkan platform lain.

“Statistik ini menunjukkan peningkatan penggunaan aplikasi komunikasi sebagai medium utama sindiket menjalankan penipuan tawaran pekerjaan.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan memastikan kesahihan setiap tawaran pekerjaan yang diterima sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran kerja yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa syarat jelas, selain mengelakkan perkongsian maklumat peribadi atau kewangan kepada pihak tidak dikenali.