SHAH ALAM, 2 FEB: Wanita yang maut ditikam di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim di Alor Setar pagi tadi dilaporkan bakal melangsungkan pernikahan 13 Februari ini.
Ibu tiri mangsa, Norsiah Yahya, 66, berkata arwah Zaharullail Basir, 52, yang juga seorang eksekutif operasi bank sepatutnya melangsungkan majlis resepsi perkahwinan sehari selepas itu, serentak dengan majlis pertunangan adik perempuannya.
“Sebab itu kami sangat terkejut apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia pagi tadi. Arwah memang seorang anak yang baik,” katanya ketika ditemui di sini, lapor Berita Harian.
Terdahulu, Zaharullail ditemukan maut di kediamannya dengan tiga kesan tikaman pada badan. Polis mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut Norsiah, mangsa mempunyai enam orang anak berusia antara lapan hingga 28 tahun dan ketika kejadian hanya tiga anak berada di rumah.
“Anak sulung arwah pulang ke rumah sekitar jam 4 pagi dan ketika itu anak keempat mangsa membuka pintu sebelum kembali tidur. Pagi tadi barulah mereka menyedari ibu mereka sudah tidak bernyawa.
“Abang sulung mereka pula tidak berada di rumah dan sehingga kini masih gagal dihubungi,” katanya.
Beliau berkata sebaik dimaklumkan kejadian itu, dia dan suami, Basir Kosot, 70, segera bergegas dari Teluk Intan, Perak ke Alor Setar.
Katanya, kali terakhir arwah pulang ke kampung halaman minggu lalu bersama dua anaknya berusia lapan dan 13 tahun bagi menguruskan borang pernikahan di pejabat agama.
“Bakal suami arwah juga pernah kami temui sebelum ini untuk berbincang mengenai perkahwinan mereka. Arwah kelihatan sangat gembira kerana bakal mendirikan rumah tangga semula selepas beberapa tahun hidup sebagai ibu tunggal,” katanya.


