SHAH ALAM, 1 FEB: Sebanyak 70 hingga 80 peratus jangkitan demam denggi dikenal pasti berlaku di dalam rumah, sekali gus menuntut penduduk lebih proaktif bagi memutuskan rantaian penularan penyakit berkenaan.
Pegawai Kesihatan Daerah Petaling, Dr. Sudeash Rajakhrisnan berkata, daerah itu dijangka mencatat antara 12,000 hingga 15,000 kes denggi tahun ini, meningkat berbanding 8,500 kes yang direkodkan tahun lalu.
Menurut beliau, setakat ini sekitar 250 kes denggi dilaporkan setiap minggu dengan 112 wabak aktif, termasuk 54 wabak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kebanyakan jangkitan denggi berpunca daripada gigitan nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus di dalam rumah, bukan di luar. Oleh itu, pemantauan kawasan kediaman amat penting,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kawasan di bawah MBSA pernah dikenal pasti sebagai hotspot denggi tahun lalu dan berisiko berulang sekiranya langkah pencegahan tidak dilakukan secara berterusan.
Peningkatan kes denggi di daerah Petaling mendorong pelajar Sarjana Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) melaksanakan program gotong-royong bersama komuniti bagi membendung penularan penyakit tersebut.
Wakil pelajar, Muhammad Iqbal Mohd Yusof berkata, program dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) itu memberi tumpuan kepada Pangsapuri Taman Bunga Negara, Seksyen 27, yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi denggi.
“Data Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menunjukkan kawasan ini berisiko, justeru kami berharap semua penduduk, termasuk warga asing, bekerjasama menjaga kebersihan persekitaran,” katanya pada Program Kesihatan Komuniti: Program Bebas Denggi 2026, hari ini.

Beliau berkata, selain aktiviti gotong-royong, pameran kesedaran denggi dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Nepal dan Myanmar turut disediakan, selain pemeriksaan kesihatan asas untuk penduduk.
Sementara itu, Ahli Majlis Wan Shaharuddin Shah berkata, kepadatan penduduk di kawasan berkenaan meningkatkan risiko penularan denggi dan menyukarkan usaha menjaga kebersihan.
Menurutnya, kawasan itu bukan sahaja merekodkan kes denggi yang tinggi, malah pernah mencatatkan kematian akibat penyakit tersebut.
“Ancaman denggi adalah serius. Program seperti ini penting untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk dan saya berharap semua penduduk memberikan kerjasama penuh,” katanya.
Dalam program itu, KDEBWM menyediakan tong Roll-On Roll-Off (RoRo) bagi memudahkan penduduk membuang sampah, selain menaja 150 cenderahati kepada komuniti setempat.


