Puncak Alam genap 25 tahun, dari gelap sunyi ke bandar 150,000 penduduk

1 Feb 2026, 10:35 AM
Puncak Alam genap 25 tahun, dari gelap sunyi ke bandar 150,000 penduduk
Puncak Alam genap 25 tahun, dari gelap sunyi ke bandar 150,000 penduduk
Puncak Alam genap 25 tahun, dari gelap sunyi ke bandar 150,000 penduduk

SHAH ALAM, 1 FEB: Penduduk terawal menetap di Puncak Alam hari ini menyambut ulang tahun ke-25 penubuhan Fasa 1, sekali gus mengimbau perjalanan kawasan itu daripada sebuah penempatan kecil kepada bandar yang pesat membangun.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Fasa 1, Muhammad Azhar Abdullah berkata sambutan itu amat bermakna kerana berjaya menghimpunkan penduduk yang menetap sejak awal pembangunan kawasan tersebut sekitar tahun 2000.

“Program hari ini kita buat bersama-sama sambutan 25 tahun Fasa 1, iaitu fasa pertama yang dibina di Puncak Alam. Sejak awal 2000 hingga kini, lebih 500 rumah dibina dan kawasan ini berkembang sangat pesat.

“Dulu memang tiada apa-apa. Jalan pun gelap dan sukar. Hari ini kita boleh lihat Puncak Alam sudah ada banyak kawasan seperti Alam Suria, Saujana Utama, Puncak Alam 1, 2 dan 3, malah penduduknya kini mencecah lebih 150,000 orang,” katanya.

Beliau ditemui ketika sambutan ulang tahun ke-25 penduduk Fasa 1 di Dataran Mahkota Impian Fasa 1 yang dihadiri lebih 500 penduduk.

Namun pada masa, Muhammad Azhar menggesa kemudahan asas seperti balai polis, balai bomba dan klinik kesihatan segera dibina di bandar berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Fasa 1 Puncak Alam, Muhammad Azhar Abdullah. Foto NADIAH ZAMLUS/MEDIASELANGOR

“Sehingga hari ini, Puncak Alam tidak ada balai polis, bomba dan klinik kesihatan. Balai polis terdekat di Saujana Utama, itu pun agak jauh. Bila berlaku kecemasan, ia menjadi masalah besar kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata, dengan jumlah penduduk yang semakin ramai, kemudahan asas itu tidak lagi boleh ditangguhkan.

“Takkan penduduk nak bergantung kepada klinik swasta sahaja. Sebab itu saya menjemput wakil rakyat dan pemimpin setempat supaya isu ini dapat disuarakan dan dibantu,” katanya.

Sementara itu, antara aktiviti yang diadakan ialah bola tampar, sepak takraw, penalti bola sepak, bola jaring serta pertandingan mewarna yang dibuka bukan sahaja kepada kanak-kanak malah golongan dewasa.

“Harapan saya, program ini dapat merapatkan hubungan penduduk, supaya yang muda mengenali yang lama dan ukhuwah di Fasa 1 terus kukuh,” katanya.