70 peniaga Sungai Kemensah terima lesen sementara MPAJ

1 Feb 2026, 6:49 AM
70 peniaga Sungai Kemensah terima lesen sementara MPAJ

SHAH ALAM, 1 FEB: Seramai 70 peniaga yang beroperasi di sepanjang Sungai Kemensah, Hulu Kelang kini berpeluang menjalankan perniagaan secara sah susulan tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan lesen perniagaan sementara sebagai langkah pemutihan dan kawal selia aktiviti di kawasan tumpuan pelancongan itu.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, inisiatif berkenaan membolehkan peniaga yang sebelum ini beroperasi tanpa lesen sah mendapatkan lesen sementara untuk tempoh tiga tahun sebelum diwajibkan memohon lesen perniagaan penuh.

Menurut beliau, bancian yang dijalankan pada 2024 mendapati kesemua 70 perniagaan di Kampung Kemensah tidak mempunyai lesen sah, kebanyakannya disebabkan kekangan pengezonan serta status pemilikan tanah.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan aktiviti perniagaan di Sungai Kemensah dapat dikawal selia secara lebih tersusun dan mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan,” katanya, memetik laporan The Star.

Hasrolnizam berkata, peniaga diberi tempoh 90 hari untuk mengemukakan permohonan lesen sementara, dengan bayaran bermula RM1,000 bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan.

“Pengenalan lesen sementara ini membolehkan peniaga beroperasi secara sah sambil melengkapkan keperluan bagi mendapatkan lesen perniagaan penuh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa lesen sementara tersebut bukan kelulusan muktamad dan boleh ditarik balik sekiranya peniaga gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

Antara syarat utama ialah mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) dan Permit Struktur serta mematuhi peraturan pengezonan. Bagi operasi di atas tanah Kerajaan Negeri, peniaga perlu mendapatkan kelulusan agensi berkaitan, manakala operasi di tanah persendirian memerlukan kebenaran pemilik.

Tambah beliau, peniaga diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mengemukakan permohonan lesen perniagaan penuh sebelum tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mana-mana operasi yang gagal mematuhi ketetapan.

Menurut Hasrolnizam, langkah pemutihan ini merupakan sebahagian usaha MPAJ menyelaraskan aktiviti rekreasi dan komersial di sepanjang Sungai Kemensah selari dengan pembangunan Geopark Gombak-Hulu Langat.

Beliau berkata, pengeluaran lesen sementara itu dijangka menyokong pembangunan pelancongan tempatan, merancakkan ekonomi setempat, meningkatkan hasil bukan cukai MPAJ serta memperkukuh imej dan kredibiliti pihak berkuasa tempatan.

“Garis panduan operasi yang lebih menyeluruh sedang dimuktamadkan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2026,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasrolnizam memaklumkan MPAJ berjaya mengutip RM57,960 hasil permit jualan bunga api sementara sempena sambutan Tahun Baharu Cina, dengan 47 daripada 55 permohonan diluluskan.

Beliau berkata, sebarang lanjutan permit jualan bunga api selepas 21 Februari tidak dibenarkan bagi memberi laluan kepada permohonan permit sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.