KOTA BHARU, 1 FEB: Pelaksanaan penuh pintu pagar automatik dan sistem biometrik menjelang 2028 bakal memperkukuh Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan imigresen di semua pintu masuk negara, termasuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di bawah penyelarasan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata penggunaan teknologi itu bertujuan meningkatkan kecekapan tapisan dan pengesahan identiti, sekali gus memelihara integriti perkhidmatan imigresen dalam mengurus aliran pergerakan keluar masuk negara secara lebih teratur dan sistematik.
Bagaimanapun, beliau berkata kaunter pemeriksaan manual akan terus disediakan sebagai sokongan sekiranya berlaku gangguan teknikal di luar jangka dan memastikan kelangsungan perkhidmatan tidak terjejas.
“Pemasangan 635 pintu pagar automatik di 125 pintu masuk negara pada 2028 ini nanti akan mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan manual oleh pegawai imigresen kerana urusan rutin pemeriksaan dikendalikan melalui sistem teknologi.
“Pendekatan akan membolehkan sumber manusia dioptimumkan untuk tugasan penguatkuasaan dan siasatan yang lebih mencabar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Zakaria berkata imigresen turut memastikan sistem yang digunakan berdaya tahan tinggi, termasuk keupayaan beroperasi secara berdikari atau dalam mod luar talian sekiranya berlaku gangguan rangkaian.
Beliau berkata keberkesanan sistem di pintu masuk rasmi secara tidak langsung menyokong usaha agensi keselamatan lain dalam memantau dan mengekang aktiviti di laluan tidak diwartakan, sekali gus menyukarkan sindiket menggunakan dokumen perjalanan sah sebagai taktik penyamaran.
“Tumpuan imigresen adalah memastikan sistem tapisan imigresen di pintu masuk sah berada pada tahap keselamatan tertinggi dan tidak mudah dieksploitasi sindiket,” katanya ketika mengulas kebimbangan peningkatan cubaan kemasukan pendatang tanpa izin melalui laluan tidak diwartakan di sempadan Kelantan, Perlis dan Kedah.
Beliau berkata kawalan fizikal pintu masuk negara kini berada di bawah penyelarasan AKPS manakala peranan imigresen tertumpu kepada aspek sistem, tapisan dan penguatkuasaan imigresen.
Zakaria berkata usaha pemodenan perkhidmatan imigresen juga akan diteruskan melalui penggunaan sistem biometrik seperti Automated Biometric Identification System dan sistem pengecaman wajah.
Beliau berkata pendekatan digital menyeluruh itu akan memastikan perkhidmatan imigresen kekal cekap, telus dan mempunyai tahap kesiapsiagaan sistem yang tinggi melalui sokongan infrastruktur pelayan tempatan serta pelayan pusat yang stabil.
Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa pegawai yang disyaki terlibat dengan sindiket pengurusan pendatang hanya dipindahkan tanpa tindakan lanjut, Zakaria menegaskan tindakan berkenaan sering disalah tafsir.
Beliau berkata pemindahan pegawai yang sedang disiasat merupakan langkah pencegahan awal bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan dalaman, termasuk akses kepada dokumen atau sistem berkaitan.
“Tindakan ini penting bagi menghentikan serta-merta sebarang aktiviti yang disyaki, selain menjamin ketelusan dan keadilan sepanjang proses siasatan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata sebaik sahaja siasatan dalaman dilengkapkan, prosiding tatatertib akan dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan sekiranya terdapat unsur jenayah tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan peruntukan sedia ada.
Selain itu, Zakaria berkata setiap petugas imigresen juga diwajibkan mengisytiharkan harta yang dimiliki selaras dengan Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Beliau berkata bagi pegawai imigresen, kewajipan itu dimantapkan lagi melalui Arahan Pentadbiran Bil. 1/2021 yang mewajibkan semua petugas melaksanakan pengisytiharan harta sekali setahun.
"Pemantauan terhadap petugas imigresen dilaksanakan secara berterusan sebagai proses biasa melalui Unit Pematuhan, selain tindakan lanjut oleh Unit Pengesanan dan Pengesahan, Bahagian Integriti terhadap mana-mana pegawai yang diadu memiliki gaya hidup melebihi kemampuan.
"Walau bagaimanapun, setakat ini tiada pegawai yang dikenakan tindakan atas pelanggaran Peraturan 10 serta Arahan Pentadbiran yang dikeluarkan seperti yang diperuntukkan," katanya.
Zakaria berkata sepanjang tahun lepas, 24 pegawai imigresen ditahan atas kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, melibatkan beberapa pintu masuk utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bharu dan Kompleks ICQS Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
-- BERNAMA


