GOMBAK, 1 FEB: Kerajaan Negeri terbuka untuk rundingan, namun akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap rumah ibadat yang didapati melanggar undang-undang
Dato’ Menteri Besar berkata ketetapan itu demi menjamin keselamatan awam, kelancaran pembangunan serta pematuhan kepada kedaulatan undang-undang, tanpa menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, sejak 2008 Kerajaan Negeri melaksanakan proses berterusan untuk menyelaras status rumah ibadat bagi memastikan ia beroperasi secara sah mengikut lunas undang-undang.
Menurutnya, Kerajaan Negeri bertanggungjawab melindungi hak semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.
“Saya orang Islam, tetapi selaku pemimpin yang bertanggungjawab saya kena pastikan bukan masjid dan surau saja dapat beroperasi dengan baik tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab seperti termaktub dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, kita kena pastikan rumah-rumah ibadat termasuk kuil juga akan dipertahankan dan dijaga untuk pastikan operasi mereka ini sah.
“Seperti pandangan Yang Berhormat Papparaidu tadi, bahawa kita tidak boleh benarkan di tanah-tanah rizab TNB, Air Selangor, JKR kerana di sana ada utiliti dan jangan marah kalau kita terpaksa ambil tindakan roboh kerana ia bertentangan dengan pembangunan tetapi kita terbuka untuk perbincangan.
“Seperti pengalaman saya di sebuah kuil di Subang, isunya hampir menimbulkan ketegangan kaum, kerana ada orang ‘cucuk’, ambil kesempatan tetapi apabila dapat persetujuan daripada tuan sekarang kuil boleh beroperasi di tempat yang lebih selesa. Itu adalah cara kita, bukan main ‘ambush’, bukan dengan sombong, kita terbuka untuk rundingan dan perbincangan tetapi kena pertahankan lunas undang-undang,” katanya.
Beliau berucap pada sambutan perayaan Thaipusam peringkat Selangor di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, di sini, malam tadi.
Menurut Amirudin, beliau percaya majoriti masyarakat di Selangor memahami keperluan untuk menyeimbangkan kebebasan beragama dengan pematuhan undang-undang demi kepentingan bersama.
“Selangor sebagai sebuah negeri untuk pelbagai kaum dan agama, tinggal dengan aman, damai, selesa. Sebab itu daripada 2008, kita mula mengorak melakukan beberapa perubahan antaranya kita cuba memastikan rumah-rumah ibadat termasuk kuil-kuil dapat beroperasi secara sah mengikut jalur undang-undang.
“Ia adalah satu proses berterusan dan saya ucap terima kasih kepada pimpinan-pimpinan masyarakat India dalam kerajaan yang kadang-kadang mengambil keputusan untuk merobohkan binaan yang tidak terletak di tanah yang sewajarnya.
“Ia bukan satu tindakan yang mudah. Tetapi untuk lunas undang-undang dan jaminan terhadap kerajaan yang bertanggungjawab mereka bersedia berbincang.
“Kita bersedia untuk menyediakan tapak-tapak sebagaimana yang ada dalam perancangan pembangunan hari ini lebih banyak kawasan telah kita sahkan walaupun masih ada lagi isu-isu dan kawasan-kawasan tertentu,” katanya.


