Fahami bahasa cinta agar kasih sayang kian memekar

1 Feb 2026, 4:00 AM
Fahami bahasa cinta agar kasih sayang kian memekar
Fahami bahasa cinta agar kasih sayang kian memekar

Ramai pasangan beranggapan kasih sayang akan difahami secara automatik apabila sudah lama bersama. Hakikatnya, setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk memberi dan menerima cinta.

Apa yang kita anggap sebagai tanda sayang, tidak semestinya dirasai dengan cara yang sama oleh pasangan kita. Perbezaan inilah yang sering menjadi punca rasa tidak dihargai, meski kedua-duanya masih saling menyayangi.

Hakikat berkenaan kian terserlah, melihat kepada realiti keretakan rumah tangga dalam masyarakat hari ini. Di Selangor, lebih 10,000 kes perceraian pasangan Islam direkodkan pada tahun lalu, dengan isu kewangan dan kurang persefahaman antara pasangan antara punca utama perpisahan.

Angka ini membuktikan masalah rumah tangga bukan semata-mata berpunca daripada ketiadaan cinta, sebaliknya kegagalan memahami keperluan emosi pasangan sering yang menjadi pencetus konflik berpanjangan.

Kaunselor berdaftar, Zumasni Rajikin berkata antara aspek yang sering dipandang remeh tetapi memberi kesan besar dalam hubungan pasangan ialah bahasa cinta atau ‘love language’.

“Setiap orang ada bahasa cinta masing-masing. Namun, ramai pasangan menyayangi pasangan mereka menggunakan cara mereka sendiri, bukan cara yang pasangan itu perlukan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Bahasa cinta ditafsirkan sebagai cara seseorang menzahirkan dan menerima kasih sayang.

Walaupun sering dianggap perkara kecil atau sekadar isu romantik, hakikatnya bahasa cinta memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada kasih sayang itu benar-benar dirasai atau sebaliknya.

Jelas Zumasni, apabila pasangan gagal mengenal pasti bahasa cinta masing-masing, usaha untuk menzahirkan kasih sayang mungkin tidak dirasai atau dihargai sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, memahami bahasa cinta pasangan adalah langkah penting untuk mengurangkan konflik dan membina hubungan yang lebih sihat.

“Bahasa cinta ini perlu dipelajari dan diusahakan. Ia tidak berlaku secara automatik, walaupun pasangan sudah lama bersama,” katanya.

Berubah mengikut fasa

Bahasa cinta seseorang juga tidak kekal lama, sebaliknya boleh berubah mengikut fasa kehidupan seperti ketika bercinta, awal perkahwinan dan selepas mempunyai anak.

Zumasni berkata perubahan komitmen, masa dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga menyebabkan keperluan emosi pasangan turut berubah dari semasa ke semasa.

“Ada pasangan yang sebelum ini menghargai perhatian dan komunikasi, tetapi selepas memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa, mereka lebih memerlukan sokongan melalui perbuatan seperti bantuan mengurus rumah atau menjaga anak-anak,” katanya.

Tambah Zumasni, masalah sering timbul apabila pasangan masih meluahkan kasih sayang berdasarkan fasa lama, tanpa menyedari pasangan mereka telah berubah dari segi keperluan emosi.

Justeru, beliau menegaskan pentingnya komunikasi berterusan antara pasangan supaya perubahan ini dapat difahami dan ditangani dengan lebih baik.

Menurut Zumasni lagi, memahami perubahan bahasa cinta bukan soal mencari kesalahan, sebaliknya usaha untuk memastikan hubungan terus berkembang dan kekal harmoni.

“Cinta perlu dipelajari semula mengikut fasa kehidupan. Bila pasangan sedar perkara ini, mereka akan lebih bersedia untuk saling memahami dan menyokong antara satu sama lain,” katanya.