SHAH ALAM, 31 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menumpaskan kegiatan pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake Base Transceiver atau Fake BTS) di Genting Highlands, Pahang, baru-baru ini.
MCMC memaklumkan kejayaan itu hasil operasi bersepadu bersama syarikat telekomunikasi menerusi pemantauan, risikan teknikal serta analisis rangkaian berterusan.
Menurutnya, langkah itu bertujuan mengenal pasti gangguan perkhidmatan komunikasi serta penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan kepada pengguna.
“Pada 19 Januari 2026, pasukan MCMC berjaya mengesan dua kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pemancaran Fake BTS ini.
“Pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlaku pemintasan rangkaian telekomunikasi yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS berunsur penipuan (scam) kepada mangsa, sekali gus membuktikan aktiviti tersebut dijalankan secara terancang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut MCMC, peralatan Fake BTS serta peranti kawalan telah dirampas untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
"Siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.
MCMC menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta integriti sistem telekomunikasi negara.
“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara,” katanya.


