Rakyat disaran pertimbang skim persaraan swasta, pelan sokongan simpanan usia emas

31 Jan 2026, 12:00 AM
Rakyat disaran pertimbang skim persaraan swasta,  pelan sokongan simpanan usia emas
Rakyat disaran pertimbang skim persaraan swasta,  pelan sokongan simpanan usia emas

SHAH ALAM, 31 JAN: Rakyat Malaysia disaran mula mencarum dalam skim persaraan swasta sebagai pelan sokongan simpanan usia emas yang lebih mampan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Penasihat dan perancang kewangan, Irda Rina Kamarulbahrain berkata, langkah itu wajar dipertimbang memandangkan ramai rakyat Malaysia yang memilih atau terpaksa bekerja selepas bersara, atas pelbagai faktor.

“Semestinya perlu ada pelan sokongan kerana skim persaraan yang kita ada ini tidak mencukupi. Kalau kita lihat statistik, ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai wang persaraan cukup, sedangkan umur mereka masih panjang.

“Setiap orang sebenarnya perlu dana tambahan, sama ada melalui pelaburan selamat yang dikawal selia, insurans atau takaful pun ada juga skim persaraan. Ini satu pelan yang baik supaya membentuk disiplin diri ketika masih sihat,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut, Irda Rina berkata gaya hidup serta kos sara hidup yang semakin meningkat merupakan antara faktor utama rakyat Malaysia memilih atau terpaksa bekerja selepas berumur 60 tahun.

Tambahnya, status Malaysia ke arah negara menua pada 2030 bakal menambah risiko kepada golongan terbabit, terutamanya apabila kerajaan melonggarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika pandemik Covid-19.

“Malaysia sekarang menuju negara menua, pada 2030, 15 peratus rakyat Malaysia terdiri daripada umur 60 tahun ke atas. Yang dibimbangi mereka masih dalam hutang, terutamanya mereka yang baru berhutang pada umur 40 tahun ke atas.

“Warga emas akan datang ini dijangka golongan yang masih berhutang dan dalam masa sama perlu juga menampung kos sara hidup yang agak tinggi,” katanya.

Irda Rina turut menyifatkan skim persaraan yang disediakan kerajaan termasuk skim pencen dan KWSP berada pada tahap baik namun ia bergantung kepada kesedaran ilmu kewangan individu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu melaksanakan reformasi dalam sistem persaraan negara termasuk cadangan meningkatkan jumlah caruman atau melaksana kempen literasi kewangan kepada golongan muda.

“Kalau kita tidak lakukan sesuatu, seperti menggalakkan orang ramai menyimpan atau sebagainya, jadi apabila kita jadi negara tua, kerajaan akan tanggung kos perubatan warga emas.

“Kerugian juga kepada sektor ekonomi apabila banyak pekerjaan menggajikan warga emas. Ia mengurangkan peluang pekerjaan kepada orang muda. Isu ini perlu kerjasama semua pihak,” katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan landskap persaraan negara semakin berbeza dengan majoriti rakyat memilih atau terpaksa bekerja melepasi umur persaraan rasmi, menurut dapatan terbaharu Kaji Selidik Persaraan Serantau Sun Life.

Kaji selidik bertajuk 'Retirement Reimagined: Asia's Retirement Divide' mendapati 64 peratus responden di Malaysia menjangkakan akan terus bekerja atau sudah bekerja selepas umur persaraan.

Ini sekali gus mencerminkan jurang yang semakin ketara antara mereka yang bersedia daripada segi kewangan dan mereka yang masih bergelut untuk mencapai keselamatan kewangan.