Isu PJS4: JAIS tiada kuasa arah pengosongan, lapor PDT jika berlaku pencerobohan

30 Jan 2026, 2:20 PM
Isu PJS4: JAIS tiada kuasa arah pengosongan, lapor PDT jika berlaku pencerobohan

SHAH ALAM, 30 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan pihaknya serta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pengosongan tanah melibatkan isu pencerobohan tanah warta di PJS 4.

Pengarah JAIS Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kuasa pengosongan tanah terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri melalui pentadbir tanah, selaras dengan peruntukan Kanun Tanah Negara.

Menurutnya, tanah berkenaan milik Kerajaan Selangor yang diwartakan bagi maksud kegunaan awam di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, khususnya sebagai tanah perkuburan orang Islam.

“Peranan JAIS dalam hal ini hanyalah sebagai pegawai pengawal, yang bertanggungjawab memastikan penggunaan tanah berkenaan mematuhi tujuan pewartaan yang ditetapkan.

“Tanah yang diwartakan di bawah kawalan JAIS kekal sebagai tanah Kerajaan Negeri dan bukan milik JAIS,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan menjelaskan, sekiranya berlaku pencerobohan atau penggunaan tanah yang tidak selaras dengan tujuan pewartaan tindakan yang diambil pihaknya adalah dengan membuat aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) untuk penguatkuasaan selanjutnya, sebagaimana yang dilakukan dalam kes di PJS 4.

Mengenai isu perobohan kuil di kawasan tersebut, jelasnya tindakan itu bukan di bawah kawalan atau arahan JAIS atau MAIS, malah turut melibatkan urusan pentadbiran rumah ibadat bukan Islam yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang dana wakaf, zakat atau baitulmal, termasuk Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) digunakan bagi menampung kos atau implikasi kewangan berkaitan penguatkuasaan pencerobohan tanah.

“Dana ini adalah amanah umat Islam dan hanya boleh digunakan mengikut tujuan asal penubuhannya selaras dengan prinsip syariah dan tadbir urus kewangan Islam,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai agar tidak mengaitkan isu perobohan kuil di PJS 4 sebagai tindakan penindasan agama, sebaliknya melihat perkara berkenaan sebagai urusan pentadbiran tanah yang tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“JAIS dan MAIS menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional berlandaskan undang-undang serta nilai keadilan, amanah dan keharmonian dalam masyarakat,” katanya.