SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Selangor sedang giat menjalankan pengosongan ladang ternakan babi dengan hanya lebih 30 ladang masih beroperasi di Kuala Langat ketika ini, berbanding 115 yang dilaporkan sebelum ini, susulan langkah penambahbaikan pengurusan penternakan.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata langkah itu sebahagian daripada dasar negeri bagi memastikan pengurusan ladang babi dilaksanakan secara lebih teratur, mampan dan selaras dengan aspek kesihatan awam serta alam sekitar.
“Dalam (mesyuarat) Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), saya telah membentangkan cadangan penambahbaikan dan semua pihak bersetuju. Saya juga akan mengadakan satu lagi dialog selepas ini dengan masyarakat serta persatuan Cina untuk memberi kefahaman.
“Kita mahu uruskan industri ini dengan lebih baik demi kepentingan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pemegang Saham antara TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) dan PKNS FM Integrated Sdn Bhd (PFMI) di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.
Izham berkata, penambahbaikan itu dilihat sangat perlu berikutan penternakan yang tidak diurus secara mampan berisiko mengundang pelbagai masalah termasuk penularan penyakit yang akhirnya merugikan industri itu sendiri.
Mengulas lanjut, Izham berkata Kerajaan Negeri telah memaklumkan dasar berhubung pengurusan penternakan itu kepada penternak terlibat dan menegaskan bahawa aktiviti penternakan tidak boleh diteruskan di lokasi tertentu.
Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri telah memberikan tempoh munasabah bagi tujuan pengosongan dan pemindahan ladang secara berperingkat dan tersusun.
“Ini lebih kepada proses pemindahan. Kita beri tempoh kerana ada anak babi yang masih kecil dan tidak boleh dilupuskan terus, sebaliknya perlu menunggu sehingga cukup tempoh," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan isu penyakit yang melibatkan ternakan babi di negeri itu setakat ini hanya membabitkan Demam Babi Afrika (ASF) dan bukannya Virus Nipah.
“Virus Nipah sudah tidak ada. Kes yang kita hadapi sekarang adalah ASF dan ia tidak berjangkit kepada manusia. Ia hanya melibatkan babi dan babi hutan sahaja," katanya.
- BERNAMA



