SHAH ALAM, 30 JAN: Pelajar lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh rakan sekolahnya di Bandar Utama, Oktober tahun lalu, akan menghadapi perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Majistret Amira Sariaty Zainal memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memperoleh kebenaran untuk mendakwa tertuduh mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah.
Peguam mewakili tertuduh, Kitson Foong mengesahkan pertuduhan kini dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
“Pihak pendakwaan telah menilai keterangan yang ada dan berpendapat ia mencukupi untuk pertuduhan membunuh diteruskan.
“Kami menghormati keputusan tersebut dan akan berhadapan dengan pihak pendakwaan dalam perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi,” katanya lapor Berita Harian.
Menurut Foong, mahkamah turut memberi keutamaan terhadap kes berkenaan bagi memudahkan pengurusan dan penetapan tarikh perbicaraan, selain persiapan pembelaan yang kini telah lengkap.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata anak guamnya menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani rawatan serta sesi kaunseling sepanjang ditempatkan di Pusat Koreksional Puncak Alam.
“Anak guam saya memberi tindak balas yang baik terhadap rawatan dan berada di landasan positif untuk menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Pada 14 Oktober lalu, remaja berkenaan didakwa membunuh rakan sekolahnya yang berusia 16 tahun di tandas Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta 12 sebatan.



