SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Selangor memandang serius dakwaan wujud pihak tertentu yang ingin mengutip dana bagi mendapatkan jentera untuk merobohkan rumah ibadat.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) V Papparaidu berkata tindakan tersebut melangkaui bidang kuasa undang-undang serta mengancam keharmonian negara.
“Penentuan sama ada sesuatu rumah ibadat itu sah atau tidak adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa menurut undang-undang, bukan ditentukan oleh orang awam atau mana-mana pihak berkepentingan politik. Tindakan juga tidak boleh dibuat berasaskan emosi.
“Isu ini tidak boleh disamakan dengan binaan haram seperti bangsal, gerai atau struktur lain. Ia melibatkan rumah ibadat yang suci. Sebagai masyarakat beragama, kita tidak wajar melabel rumah ibadat dengan gelaran negatif,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tegasnya lagi, semua pihak, termasuk individu, peguam, pihak berkepentingan atau ahli politik semua pihak diminta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.
“Usaha memperkukuh perpaduan seperti yang sentiasa ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar disokong, bukan dicemari dengan provokasi. Pilihan raya negeri yang semakin hampir juga tidak seharusnya menjadikan isu ini sebagai alat meraih sokongan politik.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan mengambil keterangan dan menggesa Pejabat Peguam Negara mempertimbangkan tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan awam,” ujarnya lagi.
Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia Indian Voice membuat laporan polis terhadap aktivis Tamim Dahri selepas beliau menyatakan niatnya melalui hantaran di Facebook untuk membeli jengkaut bagi merobohkan kuil haram.


