KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ketua Pengarah dan seorang Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-sisa).
Difahamkan, kedua-dua suspek ditahan sekitar jam 6.30 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, lapor Berita Harian.
Siasatan SPRM ketika ini difahamkan berjalan dengan meneliti dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-sisa yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata, kedua-dua mereka disiasat di bawah peruntukan Akta SPRM 2009.
"Saya mengesahkan penahanan itu dan ketika ini siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan profesional mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Saya menegaskan SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam perbuatan rasuah, tanpa mengira kedudukan atau jawatan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM akan memperhebatkan siasatan berhubung kegiatan pengimportan e-sisa secara haram, susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-sisa telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.
Malah, hasil risikan terbaharu dijalankan SPRM mendedahkan, warga asing disyaki menjadi dalang mengimport e-sisa, plastik dan kertas secara haram untuk diproses bagi tujuan kitar semula.
Ia termasuk pihak berkuasa disyaki bersubahat, berkait kes pencemaran berterusan angkara e-waste dibawa masuk secara haram ke negara ini.
Susulan itu, Isnin lalu, dilaporkan sebanyak 16 akaun bank dibekukan membabitkan nilai kira-kira RM10.2 juta selain wang tunai bernilai RM87,000 dan barang kes bernilai kira-kira RM220,000 disita.
Ini dilakukan susulan siasatan dakwaan rasuah dalam pemprosesan e-sisa, pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual melalui Op Nature.
Ia hasil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempergiatkan siasatan terhadap dakwaan itu di Selangor dan Negeri Sembilan.
Terdahulu, pada 22 Januari lalu, SPRM menahan enam individu pemilik syarikat dipercayai dalang kemasukan e-sisa ke dalam negara serta membekukan 14 akaun bernilai RM7.2 juta.
Pagi tadi, di Mahkamah Sesyen Seremban, bekas ahli lembaga pengarah syarikat pelupusan e-waste mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat memberi rasuah RM50,000 kepada pegawai JAS tahun lalu.
Jiang Fanjun, 43, yang juga warga China, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.


