KUALA LANGAT, 30 JAN: Pelaksanaan program Selangor Kitar Semula (SELKitar) bukan sahaja menumpukan pengurusan sisa pepejal, malah berperanan mendidik pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar melalui pendekatan praktikal.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit, Maswadi Mohd Milatusamsi berkata sekolahnya mengambil inisiatif menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan pelajar bagi kegunaan aktiviti pertanian di kawasan sekolah.
“Sisa makanan daripada kira-kira 1,400 pelajar dikumpulkan dan diproses menjadi baja kompos bagi kegunaan aktiviti pertanian sekolah.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan sisa makanan, malah mendidik murid supaya lebih menjimatkan kos kerana tidak perlu membeli tanah pertanian untuk aktiviti berkebun di sekolah,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu, sebanyak 30 sekolah dan IPT di Kuala Langat yang menyertai SELKitar menerima satu set tong kitar semula dan wang tunai intensif RM300 yang disampaikan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir.
Menurut Maswadi, program SelKitar turut berperanan memupuk kesedaran awal dalam kalangan murid mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta memahami kesan buruk sekiranya sisa tidak diurus dengan betul.
Sementara itu, Pensyarah Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, Sim Li Wah berkata pihak kolej menterjemahkan pelaksanaan SelKitar menerusi penganjuran pertandingan fesyen menggunakan bahan buangan yang banyak diperoleh di persekitaran.

Menurutnya, pelajar digalakkan mengumpul pelbagai bahan terpakai untuk menghasilkan pakaian kreatif sebagai penyertaan pertandingan berkenaan.
“Program ini mencetuskan kesedaran tentang nilai bahan buangan, selain membuka ruang kepada pelajar untuk menjana pendapatan melalui hasil kreativiti daripada bahan terpakai,” kata pensyarah jurusan seni reka fesyen itu.






