SHAH ALAM, 29 JAN: Enam beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami mereka di Kampung Pengkalan Datu, Kota Bharu musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, rumah separuh kekal yang didiami Nag Nura Long Deraman, 60, bersama dua anak dan tiga cucu terbakar hampir keseluruhannya.
Nag Nura berkata beliau sedang tidur bersama cucu bongsunya berusia 15 bulan sebelum dikejutkan seorang lagi cucu berusia empat tahun yang memaklumkan rumah mereka terbakar.
“Saya terdengar bunyi letupan kecil dan apabila bangun, api sudah marak di lantai bilik tidur. Saya terus arahkan dua cucu berusia empat dan enam tahun keluar, manakala saya mendukung cucu bongsu dan menutup suis utama elektrik.
“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa kecuali telefon bimbit, termasuk ubat kencing manis dan wang tunai RM200 yang baru diterima daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya ketika ditemui di sini hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata wang berkenaan merupakan satu-satunya sumber perbelanjaan sementara sebelum menerima bantuan seterusnya bulan hadapan.
Menurutnya, buat sementara waktu mereka sekeluarga akan menumpang di rumah anak lain kerana tidak mampu menyewa rumah memandangkan kediaman yang musnah itu merupakan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Kami hanya bergantung kepada bantuan bulanan MAIK sebanyak RM400 serta bantuan anak lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) dan bekerja sebagai buruh kampung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias berkata kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal dengan kemusnahan dianggarkan 80 peratus.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.48 tengah hari dan tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan dua rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya.


