SHAH ALAM, 29 JAN: Isu penternakan babi di negara ini perlu ditangani dari aspek kawalan pencemaran dan keterjaminan makanan, tanpa dikaitkan dengan sentimen kaum atau agama, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, isu pencemaran merupakan antara cabaran utama dalam industri penternakan babi, justeru kerajaan sedang berbincang dengan kerajaan negeri bagi mencari kaedah paling sesuai untuk memastikan pengurusan penternakan dilaksanakan secara tersusun dan mampan.
Menurutnya, kerajaan memberi tumpuan kepada penyediaan kaedah penternakan serta bekalan daging babi yang tidak menimbulkan kesan pencemaran terhadap persekitaran, lapor Kosmo!.
“Kita mengambil kira pengalaman lalu seperti di Negeri Sembilan dan Melaka, dan berusaha mencari pendekatan terbaik, termasuk penyediaan infrastruktur penternakan berkonsepkan sifar sisa sekiranya kawasan baharu dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri penting bagi memastikan semua pihak terlibat tidak terkesan.
Katanya, isu tersebut perlu dilihat sebagai isu berkaitan makanan dan pencemaran, bukan melibatkan perkauman atau keagamaan.
“Inilah perkara yang kita mahu selesaikan, iaitu kaedah dan bentuk keterjaminan makanan yang terbaik,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan import daging babi berbanding meneruskan penternakan secara besar-besaran, susulan bantahan yang sering timbul daripada penduduk setempat.


