SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan Negeri akan menyelaraskan kemasukan awal darjah satu pada usia enam tahun bagi semua sekolah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Dato’ Menteri Besar berkata perkara tersebut seiring dengan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung kemasukan awal umur enam tahun ke darjah satu.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pihaknya menjangkakan pelarasan itu selesai pertengahan tahun ini selepas proses kerangka kemasukan disediakan JAIS.
“Kita akan cuba selaraskan dengan KPM supaya tidak ada kekeliruan berikutan perubahan dasar ini sekali gus elak timbulnya banyak dasar.
“Banyak aspek yang perlu diberi perhatian dan disesuaikan termasuk tempoh waktu belajar serta tenaga pengajar. Hendak buat sekolah bukan susah tetapi untuk mendapatkan guru ia mengambil masa yang panjang, sekurang-kurangnya tiga ke lima tahun bagi permulaan lengkap.
“Sudah pasti perubahan besar ini akan kesannya tetapi kita akan cuba lakukan dengan tersusun dan berhati-hati supaya tidak timbul kekacauan dan kekeliruan,” katanya pada majlis perasmian dan penzahiran laporan Voluntary Local Review (VLR) Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Shah Alam siri ke-2 di sini, hari ini.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan mengadakan pemukiman bersama pelbagai pihak antaranya JAIS Jabatan Pendidikan Negeri dan universiti bagi mencari kaedah terbaik untuk sekolah di bawah jabatan agama tersebut.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun sementara Tahun Satu pula bermula pada usia enam tahun bermula tahun depan.
Namun, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan perubahan masih belum diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan, khususnya warga pendidik.
Kerajaan juga memutuskan ujian saringan diagnostik bagi kemasukan murid darjah satu pada usia enam tahun tidak dilaksanakan mulai sesi persekolahan 2027.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kebimbangan pelaksanaan ujian berkenaan boleh memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak serta berpotensi bersifat diskriminatif.
Dasar kemasukan awal itu adalah sebahagian daripada fleksibiliti sistem pendidikan negara bagi memberi peluang kepada kanak-kanak yang mencapai tahap kesediaan akademik lebih awal untuk memulakan persekolahan formal sebelum usia lazim tujuh tahun


