SHAH ALAM, 29 JAN: Persaraan tidak lagi menjadi penamat kerjaya apabila majoriti rakyat Malaysia memilih atau terpaksa terus bekerja bagi menampung keperluan hidup dan menjamin kestabilan kewangan pada usia lanjut.
Kaji selidik bertajuk Retirement Reimagined: Asia’s Retirement Divide mendapati 64 peratus responden di Malaysia menjangkakan akan terus bekerja atau sudah bekerja selepas mencapai umur persaraan.
Dapatan itu mencerminkan jurang yang semakin ketara antara golongan yang bersedia dari segi kewangan dan mereka yang masih berdepan cabaran mencapai keselamatan kewangan.
Presiden dan Ketua Negara Sun Life Malaysia, Ho Teck Seng, berkata konsep persaraan kini semakin berubah dan tidak lagi terikat kepada satu garis masa tetap.
“Kami melihat jurang yang semakin melebar antara mereka yang bekerja untuk memenuhi aspirasi peribadi dan mereka yang bekerja kerana terpaksa,” katanya seperti dilapor BH.
Menurut beliau, tekanan itu paling dirasai oleh generasi ‘sandwich’ yang menanggung keperluan ibu bapa serta anak-anak dalam tempoh yang sama.
“Sun Life percaya keselamatan kewangan tidak boleh dibiarkan kepada istilah ‘kebetulan’,” katanya.
Laporan itu menunjukkan keperluan pendapatan kekal menjadi faktor utama apabila 63 peratus responden menyatakan mereka terus bekerja bagi menampung kos sara hidup dan memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.
Bagaimanapun, sebahagian responden memilih untuk kekal bekerja atas faktor bukan kewangan seperti mencari makna dan kepuasan hidup (53 peratus), rangsangan mental (53 peratus) serta mengekalkan hubungan sosial (52 peratus).
Dalam masa sama, hampir 79 peratus responden berpandangan persaraan seharusnya menjadi satu pilihan peribadi dan bukan ditentukan semata-mata oleh had umur, sejajar dengan realiti Malaysia yang sedang menuju ke arah masyarakat menua.
Kaji selidik itu turut mengenal pasti dua laluan persaraan utama di Asia iaitu kumpulan ‘Gold Star Planners’ dan ‘Stalled Starters’.
Bagi kumpulan Gold Star Planners yang bersedia dari segi kewangan, bekerja lebih lama merupakan satu pilihan yang didorong oleh kesejahteraan dan tujuan hidup, dengan 68 peratus menyatakan faktor tersebut sebagai pendorong utama.
Sebaliknya, dalam kalangan Stalled Starters, 67 peratus mengakui mereka menangguhkan persaraan kerana kekangan kewangan dan keperluan untuk menyimpan lebih banyak wang.
Laporan itu turut menunjukkan peningkatan ketara penggunaan kecerdasan buatan generatif (GenAI) sebagai sumber maklumat kewangan, hampir dua kali ganda daripada 10 peratus kepada 21 peratus.
Trend berkenaan menimbulkan kebimbangan terhadap perancangan persaraan kendiri tanpa bimbingan profesional apabila kebergantungan kepada bank dan penasihat kewangan bebas dilihat semakin menurun.
Dari sudut sentimen, keselamatan kewangan kekal menjadi faktor utama yang mempengaruhi tahap optimisme terhadap persaraan, selain keadaan kesihatan fizikal dan mental.
Laporan sama turut mendedahkan tahap perancangan persaraan dalam kalangan rakyat Asia masih rendah, apabila 30 peratus tidak membuat sebarang perancangan awal, manakala hanya 15 peratus benar-benar yakin dengan pelan persaraan masing-masing.


