SHAH ALAM, 29 JAN: Lebih 53 peratus daripada 9.1 juta pendeposit di Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai simpanan kurang RM1,300.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, sekali gus menuntut pelaksanaan langkah strategik yang lebih tersusun, sistematik dan mampan, lapor Berita Harian.
Berdasarkan data TH, katanya antara faktor utama penangguhan tawaran haji sebelum ini adalah simpanan tidak mencukupi, selain masalah kesihatan, urusan peribadi serta faktor lain.
"Purata pendeposit juga didapati tidak membuat simpanan secara konsisten bagi persiapan haji," katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai langkah kerajaan mempermudah akses pendeposit TH menunaikan ibadah haji tanpa perlu bimbang masalah kewangan dan kesihatan, bagi memastikan pendeposit tidak ketinggalan atau menolak tawaran ibadah haji seperti musim lalu.
Mengulas data terkini, beliau berkata daripada 18 peratus pendeposit yang menangguhkan tawaran haji bagi musim 1447 Hijrah, sebanyak 10 peratus berbuat demikian kerana simpanan tidak mencukupi, manakala 36 peratus disebabkan masalah kesihatan, 37 peratus faktor peribadi dan 17 peratus faktor lain.
Sehubungan itu, katanya TH sedang melaksanakan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang bagi membantu pendeposit merancang simpanan haji secara lebih berdisiplin, selain memperkasakan pendidikan bakal jemaah dengan memanggil mereka mengikuti kursus asas seawal dua tahun sebelum tahun giliran.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan langkah TH menetapkan syarat simpanan minimum RM15,000 dalam akaun untuk layak menerima surat tawaran haji, membantu mencatat penurunan ketara dalam kadar penangguhan tawaran ibadah itu.
Untuk musim haji tahun ini, katanya kadar penangguhan tawaran ibadah itu menurun kepada 18 peratus berbanding 50 peratus pada musim lalu.
"Langkah itu antara inisiatif pembaharuan menyeluruh yang dilaksanakan TH bagi memastikan bakal jemaah memenuhi syarat istitha'ah (kemampuan) khususnya dari segi kewangan.
"Ibadah haji memerlukan persediaan rapi berteraskan prinsip maqasid syariah dengan empat elemen utama perlu dipenuhi iaitu kewangan mencukupi, kesihatan yang baik, keselamatan perjalanan serta kebenaran atau kuota daripada Kerajaan Arab Saudi," katanya.
Penetapan simpanan minimum RM15,000 dilaksanakan sejak tahun lalu adalah kadar bayaran haji paling rendah dan menjadi mekanisme saringan bagi mengenal pasti bakal jemaah yang benar-benar bersedia dari segi kewangan pada tahun giliran mereka.
Menjawab cadangan supaya tawaran haji dibuat lebih awal, Marhamah berkata perkara itu hanya boleh dilaksanakan selepas kos haji dimuktamadkan dan kuota diperoleh iaitu selepas setiap musim haji berakhir.
Bagaimanapun, katanya, pendeposit boleh membuat semakan awal status haji dan merancang persiapan melalui platform digital THiJARI yang disediakan oleh TH.
Mengenai soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai kemungkinan model pemilihan jemaah yang lebih bersasar berdasarkan kemampuan kewangan dan kesediaan, beliau berkata perkara itu masih dalam kajian kerana melibatkan pelbagai faktor termasuk kos dan kuota haji.


