Kerajaan ketatkan pengambilan pekerja asing, lindungi peluang rakyat tempatan

29 Jan 2026, 1:48 AM
Kerajaan ketatkan pengambilan pekerja asing, lindungi peluang rakyat tempatan

SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan akan memperketatkan pengambilan pekerja asing susulan jumlah mereka kini melebihi siling 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata keadaan itu membimbangkan kerana boleh menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan selain memberi tekanan kepada struktur pasaran buruh negara, lapor Berita Harian.

Sehubungan itu, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026–2030 menetapkan sasaran jelas untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kepada 10 peratus menjelang 2030, sebelum diturunkan lagi kepada lima peratus pada 2035.

Menurut Ramanan, kementeriannya turut menetapkan siling pengambilan pekerja asing mengikut sektor dan subsektor berdasarkan keperluan sebenar industri, selain memperketatkan kawal selia melalui Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia bagi memastikan pengurusan pekerja asing lebih terkawal dan berkesan.

“Kerajaan juga melaksanakan levi pekerja asing secara pelbagai peringkat bagi mengurangkan kebergantungan majikan terhadap tenaga kerja asing, di samping menggalakkan pengambilan pekerja tempatan serta peningkatan produktiviti melalui automasi dan penggunaan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Misbahul Munir Masduki (PN–Parit Buntar) berhubung langkah kerajaan menangani lambakan pekerja asing yang melebihi siling ditetapkan.

Dalam masa sama, Ramanan berkata usaha penstrukturan semula pasaran buruh akan diperkukuh menerusi penambahbaikan kadar upah, terma dan syarat pekerjaan, serta peluasan program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi mengatasi isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran kerja tempatan.

Katanya, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan pasaran buruh negara lebih seimbang dan mampan, sekali gus memastikan peluang pekerjaan rakyat tempatan kekal menjadi keutamaan tanpa menjejaskan keperluan sebenar industri dan daya saing ekonomi negara.