Dana masjid amanah umat Islam, Sultan Selangor tidak kompromi penyelewengan

28 Jan 2026, 4:19 AM
Dana masjid amanah umat Islam, Sultan Selangor tidak kompromi penyelewengan

KLANG, 28 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyelewengan dana masjid dan surau di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, dana masjid dan surau merupakan amanah umat Islam yang wajib diurus dengan penuh tanggungjawab, ketelusan serta integriti, selaras dengan hukum syarak.

“Beta ingin menegaskan bahawa amanah (lantikan) ini hendaklah dipelihara dengan penuh tanggungjawab, ketelusan dan penuh integriti. Beta tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyelewengan dana masjid dan surau.

“Wang masjid adalah hasil sumbangan orang ramai dan milik orang Islam. Maka, wang tersebut hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk manfaat umat Islam dengan berpandukan hukum syarak.

“Beta tidak mahu agama Islam ini dipandang serong oleh penganut agama lain. Cukup-cukuplah kesucian agama Islam dicemari dengan kisah-kisah penyelewengan melibatkan orang Melayu Islam sehingga ada mereka telah diheret ke mahkamah akibat amalan rasuah, penyelewengan wang dan salah guna kuasa,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Watikah Lantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid di Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya semua akaun masjid dan surau diurus mengikut peraturan serta prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Laporan kewangan hendaklah dikemukakan kepada JAIS atau MAIS pada setiap empat bulan sebagaimana ditetapkan bagi memastikan tatakelola, akauntabiliti dan kepercayaan awam sentiasa terpelihara,” titahnya.

Baginda turut mengingatkan agar budaya fitnah-memfitnah dan penyebaran tohmahan, khususnya melalui media sosial, dielakkan kerana boleh merosakkan ukhuwah dan perpaduan umat Islam.

“Beta amat memandang serius budaya ini yang amat bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh merosakkan ukhuwah serta perpaduan dalam kalangan umat Islam.

“Janganlah ada dalam kalangan anda yang gemar menyebarkan berita tidak benar, memutarbelitkan fakta atau membesar-besarkan perkara kecil sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tersilap langkah boleh menimbulkan perbalahan di kalangan masyarakat,” titah Baginda.

Sultan Selangor turut mengingatkan semua nazir, termasuk ahli jawatankuasa masjid dan surau, supaya tidak mudah mempercayai berita palsu, apatah lagi menyebarkannya tanpa usul periksa.

“Setiap maklumat hendaklah disemak dengan mendalam dan diteliti kesahihannya kerana fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh.

“Ketahuilah bahawa Beta sentiasa mengikuti perkembangan dan mengetahui apa yang berlaku di masjid dan surau negeri ini dan Beta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya perlu,” titahnya.