SHAH ALAM, 27 JAN: Jumlah kes kebakaran terbuka melonjak hampir 300 peratus apabila 2,917 kes direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 hingga 27 Januari tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan sehingga hari ini seluas 287 hektar daripada jumlah keluasan yang terlibat dalam kebakaran terbuka itu berjaya dipadamkan, manakala baki 41 hektar masih dalam tindakan pemadaman.
“Peningkatan kes kebakaran terbuka ini berpunca daripada cuaca panas, kering dan berangin yang sedang melanda kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia, terutama di bahagian utara, dan dijangka berterusan hingga 31 Januari, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
“Keadaan cuaca ini memudahkan api merebak, khususnya di kawasan belukar dan tapak pembuangan sampah haram, selaras dengan peningkatan kes kebakaran yang direkodkan JBPM,” katanya.
Dalam pada itu, JBPM memaklumkan kawasan belukar dikenal pasti sebagai penyumbang utama kes kebakaran terbuka dengan 2,187 kes (75 peratus) direkodkan, berbanding 440 kes (2025) dan 53 kes (2024) bagi tempoh sama.
Selain itu, tapak pelupusan sampah haram turut mencatatkan antara kes tertinggi dengan 431 kes, berbanding 244 kes (2025) dan sembilan kes (2024).
“Setakat ini, JBPM sedang giat memadam kebakaran di beberapa kawasan aktif di Johor melibatkan keluasan 196.5 hektar, termasuk di Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Desa Selatan Kampung Lepay dan Tapak Pelupusan Sampah Bukit Tuatau.
“JBPM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dan menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka serta sentiasa mematuhi peraturan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar,” katanya.


