SHAH ALAM, 27 JAN: Kerajaan Selangor memperkukuh pembangunan kepimpinan global dalam kalangan penjawat awam menerusi kerjasama strategik bersama Peking University, China, termasuk pelaksanaan Program Pembangunan Kepimpinan Global.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama itu merupakan susulan lawatan beliau ke China pada September tahun lalu, yang kemudiannya disusuli dengan kunjungan balas oleh Persatuan Alumni Peking University ke Selangor, semalam.
Menurut beliau, program berkenaan menawarkan kurikulum komprehensif yang dirangka bersama tenaga pengajar ternama, dengan pendekatan pembelajaran seimbang antara teori dan praktikal.
“Pengisian program merangkumi isu strategik semasa seperti kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), teknologi 5G serta tadbir urus berkualiti.
“Program ini turut disokong dengan lawatan industri dan kajian kes sebenar, sekali gus memberi pendedahan praktikal kepada peserta, khususnya dalam memperkasa kepimpinan global pegawai Kerajaan Negeri Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah Amirudin, selain pengisian akademik, peserta program berpeluang merasai pengalaman pembelajaran holistik menerusi pendedahan kepada persekitaran kampus ikonik Peking University, pembelajaran di lapangan serta pertukaran pandangan rentas budaya.
“Peserta yang memenuhi syarat juga akan menerima sijil rasmi daripada Peking University sebagai pengiktirafan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, perbincangan turut merangkumi peluang penempatan praktikal selama dua bulan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa bersama Kerajaan Negeri , melibatkan pejabat EXCO serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurut Amirudin, inisiatif itu bertujuan memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai sistem pentadbiran kerajaan negeri serta amalan tadbir urus di Selangor.
“Kerjasama ini diharap dapat membuka ruang yang lebih luas untuk pertukaran ilmu, memperluas perspektif global dan seterusnya memperkukuh kepimpinan ke arah tadbir urus yang lebih berdaya saing,” katanya.
Sesi perbincangan itu turut dihadiri EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han.



