SHAH ALAM, 26 JAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengeluarkan 27 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dalam operasi khas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), baru-baru ini.
Menerusi kenyataan di Facebook, SWCorp memaklumkan tindakan itu hasil pelaksanaan menyeluruh Operasi Perintah Khidmat Masyarakat sebagai pendekatan memperkukuh pematuhan terhadap kebersihan awam.
“Tindakan penguatkuasaan ini bukan semata-mata bersifat menghukum, sebaliknya bertujuan mendidik masyarakat serta membentuk sikap lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
“SWCorp komited untuk memastikan kawasan R&R sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selesa demi kesejahteraan pengguna, selaras dengan aspirasi mewujudkan Malaysia bersih, indah dan sejahtera,” kata kenyataan itu lagi.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mula melaksana Akta 672 berkuat kuasa 1 Januari lalu dengan perintah khidmat masyarakat berkuat kuasa di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pelaksanaannya bertujuan sebagai hukuman menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Pada 23 Januari lalu, wanita warga Indonesia menjadi Orang Kena Saman (OKS) pertama di Malaysia didenda dan diperintahkan melakukan khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor.
Anita Lukman, 49, mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM500 serta diperintah melakukan khidmat masyarakat selama enam jam dengan tempoh dua jam sehari dan perlu dilaksanakan tidak lebih daripada enam bulan.
Mengikut kertas pertuduhan, Anita didakwa atas kesalahan membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok dan botol minuman di tempat awam dan bukan di dalam tong sampah yang disediakan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut di Johor Bahru, pada jam 12.41 tengah malam, 1 Januari lalu.


