SHAH ALAM, 26 JAN: Selangor merekodkan kutipan hasil tertinggi tahun lalu sebanyak RM3.021 bilion, iaitu lebih RM700 juta daripada sasaran RM2.3 bilion.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peningkatan hasil yang konsisten sejak 2021 itu disebabkan usaha keras dan jitu semua warga kerja, selain kreativiti pentadbiran dalam mencipta hasil baharu.
“Tahun 2025, kali pertama kali dalam sejarah. Alhamdulillah Selangor capai RM3.021 bilion. Kejayaan ini bukan secara spontan atau tiba-tiba. Sebagai contoh pada 2021, itulah kali pertama dalam sejarah setelah beberapa tahun.
“Kita sasarkan RM2.2 bilion, dapat RM2.28 bilion, lebih RM500 juta. Pada 2022, kita sasarkan kutipan hasil sebanyak RM2.05 bilion tapi dapat RM2.53 bilion. 2024 kita sasarkan RM2.2 bilion, yang kita dapat RM2.8 bilion, lebih RM600 juta,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 hari ini.
Amirudin kata menerusi Belanjawan Selangor tahun ini, pentadbiran menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM2.8 bilion memandangkan pelbagai sumber baharu telah dicipta antaranya Dasar Pelepasan Sifar (ZDP), fi kelestarian dan abstrak air.
“Kita berusaha yang terbaik untuk memastikan sasaran mencukupi. Sebab itu kira beri insentif kepada pejabat, pentadbiran untuk mengurus atau membantu peningkatan hasil.
“Tahun lepas, kutipan kita tidak lagi bergantung dengan premium tambah semata-mata, hanya dalam 60 peratus. Selebihnya 40 peratus daripada benda lain yang telah kita upayakan,” katanya.
Pada November, Amirudin berkata kedudukan kewangan terus mengukuh apabila negeri merekodkan puluhan juta ringgit hasil setahun melalui dividen anak syarikat, pelaburan serta caj air dan ZDP.
Katanya Kerajaan Negeri mengutip kira-kira RM40 juta setahun sejak 2022 hasil dividen diperoleh daripada anak-anak syarikat, yang disalur melalui Tabung Amanah Sumbangan Anak Syarikat, Badan Berkanun, Agensi Kerajaan Negeri Selangor (TASASBA).



