SHAH ALAM, 26 JAN: Isteri ketiga kepada bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5,000.
Salwani Anuar @ Kamarudin, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Otman.
Mengikut pertuduhan, Salwani didakwa menerima wang hasil aktiviti haram apabila RM5,000 dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Cawangan Jerteh, Besut pada 16 Januari 2025.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, lapor Berita Harian.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan syarat jaminan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula pada 30 Mac depan dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide dan Rabiatul Adawiyah Mohd Noorlee, manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Abd Moin.
Khamis lalu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM77,000.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengawal sebuah syarikat, didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM50,000, RM7,000 serta dua transaksi masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Damansara Heights antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025.
Bagi keempat-empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta 613 dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, jika sabit kesalahan.


