Guru swasta berisiko hilang kerja, pengusaha tadika saran tubuh agensi khas

26 Jan 2026, 1:00 AM
Guru swasta berisiko hilang kerja, pengusaha tadika saran tubuh agensi khas
Guru swasta berisiko hilang kerja, pengusaha tadika saran tubuh agensi khas
Guru swasta berisiko hilang kerja, pengusaha tadika saran tubuh agensi khas

SHAH ALAM, 26 JAN: Kemasukan murid enam tahun ke darjah satu tanpa pelan peralihan jelas dibimbangi menjejaskan tadika swasta dan kebajikan guru pendidikan awal kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch, Hilmi Ismail berkata tadika swasta berperanan penting menyokong sistem pendidikan negara, khususnya dalam menampung kekurangan prasekolah kerajaan.

Jelas beliau, pelaksanaan dasar tersebut secara mengejut dikhuatiri menyebabkan penyusutan mendadak jumlah murid tadika, sekali gus memberi tekanan kepada operasi, kewangan dan pengurusan sumber manusia pengusaha.

"Sekiranya murid enam tahun dipindahkan sepenuhnya ke darjah satu tanpa tempoh peralihan yang munasabah, banyak tadika swasta berisiko kehilangan pelajar dan terpaksa menilai semula keperluan tenaga kerja," katanya kepada Media Selangor.

Hilmi turut mempersoalkan perancangan tersebut yang dibuat tanpa polisi terperinci, garis panduan operasi atau libat urus awal bersama pemain industri, sedangkan sektor pendidikan awal kanak-kanak memerlukan perancangan jangka panjang.

"Dasar itu juga dilihat bercanggah dengan pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026) diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menekankan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan bagi kanak-kanak enam tahun," katanya.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan pelaksanaan kemasukan murid enam tahun ke darjah satu ditangguhkan, selain menyediakan tempoh peralihan antara dua hingga tiga tahun serta melaksanakan projek perintis sebelum dilaksanakan ke peringkat nasional.

Cadang tubuh agensi khas pendidikan awal kanak-kanak

Sementara itu, Pengasas Genius Aulad Zaliza Alias mencadangkan penubuhan satu agensi khas pendidikan awal kanak-kanak di peringkat nasional bagi menyelaras kualiti, latihan, sokongan ibu bapa dan pelesenan.

Menurut beliau, dalam membincangkan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, aspek paling asas yang perlu diberi perhatian ialah hala tuju pendidikan awal kanak-kanak, bukan sekadar penetapan umur kemasukan ke darjah satu.

"Jika Malaysia mahu mencontohi negara maju, reformasi pendidikan awal kanak-kanak perlu dilaksanakan secara menyeluruh, berfasa dan terancang, bukan secara tergesa-gesa.

"Apabila rancangan pendidikan negara diumumkan, pendidikan awal kanak-kanak hanya disentuh dari sudut umur enam atau tujuh tahun masuk sekolah. Sedangkan kurikulum dan hala tuju pendidikan tidak boleh ditentukan berdasarkan umur semata-mata," katanya.

Beliau menjelaskan, ketiadaan kerangka yang jelas dan menyeluruh telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan semua pemegang taruh termasuk ibu bapa, pengusaha, operator dan guru.

Tambah beliau, isu pendidikan awal kanak-kanak telah lama dibangkitkan oleh persatuan dan pengusaha tadika, khususnya berkaitan pelbagai kementerian dan agensi yang mengawal selia sektor berkenaan.

"Apabila sistem terlalu berpecah-pecah dan tidak diselaraskan, sebarang perubahan dasar akan menimbulkan kekeliruan. Jika perkara ini tidak disentuh dalam perancangan pendidikan negara, seolah-olah pendidikan awal kanak-kanak terus dilihat sebagai ‘business as usual," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan satu kerangka nasional yang lengkap, merangkumi tadbir urus kualiti, sokongan kepada pemegang taruh serta penubuhan satu agensi khas bagi menyelaras pendidikan awal kanak-kanak, selaras dengan amalan di negara maju.

"Jika benar kita mahu merancang masa depan pendidikan negara, pendidikan awal kanak-kanak perlu diberi tempat yang jelas, tersusun dan berstruktur sejak awal," katanya.

Pelaksanaan kemasukan murid darjah satu pada usia enam tahun secara sukarela mulai 2027 menerima pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata hanya kanak-kanak yang lulus ujian saringan diagnostik khas akan layak memasuki tahun satu seawal usia enam tahun.

Beliau berkata ibu bapa yang berminat perlu mendaftarkan anak mereka terlebih dahulu bagi menduduki ujian saringan diagnostik itu, yang akan diumumkan pelaksanaannya tahun ini.