Isu bawa anjing ke pusat beli-belah masih dibincang, usah sensasikan - EXCO

25 Jan 2026, 2:00 AM
Isu bawa anjing ke pusat beli-belah masih dibincang, usah sensasikan - EXCO

Oleh Aida Nyan

SHAH ALAM, 24 JAN: Kerajaan Negeri menegaskan cadangan membenarkan anjing dibawa ke pusat beli-belah di Selangor masih di peringkat perbincangan awal dan tidak seharusnya dipolitikkan sehingga mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata cadangan berkenaan belum diluluskan dan hanya melibatkan perancangan untuk mengadakan sesi libat urus bagi menilai kebolehlaksanaannya sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ia belum diluluskan. Semua perkara perlu melalui perbincangan secara menyeluruh termasuk melihat pro dan kontra dengan pelbagai pihak sebelum sebarang garis panduan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Menurut beliau, isu itu masih dalam proses perbincangan namun telah disensasikan sehingga seolah-olah keputusan muktamad telah dibuat, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan kekesalan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kami mengambil pendekatan untuk mengambil pandangan dan mendengar suara daripada semua pihak,” jelasnya.

Ng Suee Lim turut menegaskan tidak wajar setiap isu dibawa ke medan politik sehingga boleh mencetuskan perpecahan dan kebencian sesama kaum.

“Perkara seperti ini boleh dibincangkan dengan elok, bertamadun dan baik, bukan dipolitikkan,” tegasnya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa poster dan hantaran yang menggesa penolakan terhadap cadangan berkenaan dengan alasan ia menyentuh sensitiviti agama, termasuk dakwaan pusat beli-belah merupakan ruang awam yang dikunjungi majoriti masyarakat Islam serta melibatkan isu hukum dan akidah.

Menerusi poster sama, cadangan tersebut turut dikecam kerana menggunakan alasan ‘trend global’ dan didakwa tidak menghormati sensitiviti rakyat Selangor yang majoritinya beragama Islam.