CHERAS, 25 JAN: Program Penyelamat Senyap anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuka peluang kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran membina keyakinan diri dan kepimpinan sambil menguasai kemahiran menyelamatkan nyawa.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman berkata pendekatan melatih komuniti OKU pendengaran sebagai jurulatih resusitasi kardiopulmonari (CPR)memberi kesan jangka panjang terhadap pembangunan diri dan komuniti.
“Apabila komuniti diperkasa untuk melatih komuniti mereka sendiri, kita bukan sekadar memindahkan ilmu, tetapi membina keyakinan diri, kepimpinan akar umbi, peluang ekonomi sosial dan rasa pemilikan terhadap ilmu yang dipelajari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program itu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini, semalam.
Menurut Norinsan, pendekatan tersebut memastikan kesinambungan latihan CPR dapat diteruskan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar, sekali gus menjadikan komuniti OKU pendengaran sebagai ejen penyelamat di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekak Islam Malaysia, Aqlam Jafri berkata komuniti terbabit menyambut baik inisiatif tersebut kerana membuka ruang kesedaran serta pembelajaran CPR dalam kalangan golongan pekak.
“Persatuan Pekak Islam Malaysia sangat berbangga dan sangat gembira kerana program ini memberi kesedaran kepada komuniti pekak tentang kepentingan belajar dan tahu cara melakukan CPR.
“Jika berlaku kecemasan, kami harap komuniti pekak dapat bekerjasama, belajar dan menyebarkan kesedaran ini kepada orang lain. Kami juga berharap modul dan buku panduan CPR UKM dapat disebarkan kepada komuniti pekak yang lain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pengetua Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Wan Nomi Wan Omar berkata inisiatif itu memberi nilai tambah besar kepada sekolah dan alumni, khususnya dalam aspek keselamatan murid.
“Kita dalam pihak sekolah kena menerima semua murid walaupun ada masalah kesihatan… memang murid-murid saya ada yang ada masalah kejang,” katanya sambil menambah latihan CPR membolehkan alumni dan warga sekolah bertindak membantu apabila berlaku kecemasan.

Beliau berkata, sebelum ini peranan alumni lebih tertumpu kepada sokongan motivasi, namun melalui Program Penyelamat Senyap, mereka kini dapat menyalurkan ilmu menyelamatkan nyawa secara langsung kepada murid pendidikan khas.
Program Penyelamat Senyap melibatkan seramai 120 peserta OKU pendengaran, dengan sebahagian daripada mereka akan dipilih mengikuti latihan lanjutan sebagai jurulatih CPR komuniti.
Inisiatif ini sekali gus membentuk rangkaian penyelamat nyawa dalam komuniti pekak di peringkat sekolah, persatuan dan masyarakat.



