Program Penyelamat Senyap UKM sedia latihan CPR untuk OKU pendengaran

24 Jan 2026, 1:30 PM
Program Penyelamat Senyap UKM sedia latihan CPR untuk OKU pendengaran
Program Penyelamat Senyap UKM sedia latihan CPR untuk OKU pendengaran

CHERAS, 24 JAN: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Program Penyelamat Senyap bagi menyediakan latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman berkata program itu diwujudkan bagi memastikan semua golongan mempunyai akses kepada kemahiran kritikal menyelamatkan nyawa tanpa mengira keupayaan fizikal.

“Tiada golongan yang tercicir daripada kemahiran menyelamatkan nyawa, hanya kerana perbezaan keupayaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program itu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini, hari ini.

Beliau berkata, Program Penyelamat Senyap membawa pendekatan baharu dengan melatih komuniti OKU pendengaran bersama komuniti lain, termasuk penggunaan bahasa isyarat, supaya ilmu CPR tidak terhad di universiti semata-mata, sebaliknya dimasyarakatkan.

Antara peserta program jurulatih CPR dalam kalangan komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, Kuala Lumpur pada 24 Januari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam sidang media, Setiausaha Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur, Nurul Husna Ibrahim berkata komuniti pekak sebelum ini hampir tidak pernah mendapat pendedahan latihan CPR, menyebabkan mereka sering tidak mengetahui tindakan perlu diambil ketika berdepan situasi kecemasan.

“Kami pun tak tahu nak bantu macam mana, jadi adakah itu salah kami? Sebab kami pun tak pernah diajar,” katanya.

Beliau berkata pendekatan latihan berasaskan visual, penggunaan patung latihan serta bahasa isyarat membolehkan komuniti pekak memahami teknik CPR dengan lebih tepat dan berkesan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan merangkap Pengerusi Program, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Prof Madya Dr Mohd Hisham Mohd Isa berkata modul khas ‘5T CPR’ dibangunkan khusus untuk OKU pendengaran.

Menurut beliau, modul itu merangkumi lima langkah utama iaitu tengok, tegur, telefon, teliti dan tekan, dengan sokongan jurubahasa isyarat, video visual serta pembantu komunikasi.

Beliau berkata program berkenaan menerima sokongan Geran Pendayaan Komuniti dan disasarkan untuk diperluaskan ke negeri-negeri lain sebagai model latihan CPR inklusif di peringkat nasional.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Perubatan UKM, Prof Madya Dr Ruslinda Mustafar. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat) Fakulti Perubatan UKM, Prof Madya Dr Ruslinda Mustafar berkata seramai 120 peserta OKU pendengaran menyertai program tersebut.

Menurut beliau, sebahagian peserta akan dipilih untuk menjalani latihan lanjutan sebagai jurulatih CPR komuniti.

Katanya, pemilihan peserta dibuat melalui rangkaian persatuan komuniti pekak termasuk Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur, Persatuan Pekak Islam Malaysia, Persatuan Sukan Orang Pekak serta alumni sekolah pendidikan khas bagi memastikan latihan itu benar-benar berakar dalam komuniti sasaran.