KLANG, 24 JAN: Isu projek ladang ternakan babi berpusat di Bukit Tagar akan dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) susulan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato' Ng Suee Lim berkata Kerajaan Negeri kini menunggu makluman daripada Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari bagi mengadakan perbincangan lanjut di peringkat MMKN.
“Jadi, kita sedang menunggu makluman daripada Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari bagi mengadakan perbincangan lanjut di peringkat MMKN.
“Tiada masalah, kita akan berbincang. Namun, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) belum ada perkembangan lanjut lagi,” katanya selepas merasmikan Festival Kampung Baharu Selangor 2026 di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri mengesyorkan supaya projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar yang menimbulkan keresahan masyarakat setempat dibatalkan terlebih dahulu atau dipindahkan ke kawasan baharu yang lebih sesuai.
Anwar berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Amirudin bagi mendapatkan penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut.
Menurutnya, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya semalam susulan kebimbangan dan keresahan rakyat di kawasan terlibat.
“Saya akan bincang dengan Menteri Besar Selangor dan bagi pandangan supaya kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau boleh kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin.
“Kalau pun teknologi itu terbaik, tetapi di kawasan yang menimbulkan kesan (keresahan) itu, tentu tidak wajar diteruskan,” katanya.
Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda bertitah pihak istana tidak bersetuju, khususnya berikutan kemungkinan pengenalan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
Susulan pertemuan Sultan Selangor dengan EXCO Pertanian pada 12 Januari lalu, Kerajaan Negeri mengambil beberapa langkah penambahbaikan termasuk mempercepatkan pemindahan ladang ternakan ke Bukit Tagar pada tahun ini serta memastikan tiada dana awam digunakan bagi tujuan berkenaan.
Menurut Dato’ Ir Izham Hashim, kawasan Bukit Tagar seluas 500 ekar yang dicadangkan sebagai pusat penternakan babi moden merupakan kawasan pelupusan sisa dan tidak berpenghuni.
Beliau menjelaskan pemilihan lokasi itu tidak melibatkan sebarang penempatan penduduk, sekali gus menepis dakwaan bahawa cadangan berkenaan menyentuh sensitiviti kaum seperti dibangkitkan sesetengah pihak.



