JAKARTA, 24 JAN: Sekurang-kurangnya tujuh maut manakala ratusan lagi dilaporkan hilang selepas kejadian tanah runtuh yang disertai banjir kilat melanda daerah Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat, Indonesia awal pagi tadi.
Bencana yang berlaku kira-kira jam 3.00 pagi waktu tempatan itu menyebabkan puluhan rumah tertimbus akibat runtuhan tanah dan aliran lumpur yang deras, sekali gus mengakibatkan kerosakan teruk di kawasan perumahan berhampiran.
Tanah dan lumpur dilaporkan mengalir dari Kampung Pasirkuning ke Kampung Pasir Kuda, mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk yang sedang tidur ketika kejadian berlaku.
Penduduk memaklumkan mereka terdengar bunyi dentuman kuat sebelum tanah runtuh berlaku, menyebabkan ramai bertempiaran menyelamatkan diri dalam keadaan gelap.
Menurut data awal polis, tujuh mayat berjaya ditemui setakat jam 12.00 tengah hari tadi, manakala ratusan penduduk lain masih dipercayai terperangkap atau hilang di bawah timbunan runtuhan.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan pasukan gabungan polis, tentera serta agensi pengurusan bencana masih diteruskan, namun berdepan cabaran berikutan keadaan muka bumi yang sukar, timbunan tanah yang tebal serta risiko hujan berterusan.
Pihak berkuasa tempatan turut menggesa penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi zon berisiko tinggi bagi mengelakkan berlakunya bencana susulan. - Agensi


