Dakwaan Malaysia beri 5,207 hektar tanah kepada Indonesia tidak tepat - Menteri

23 Jan 2026, 12:33 PM
Dakwaan Malaysia beri 5,207 hektar tanah kepada Indonesia tidak tepat - Menteri

SHAH ALAM, 23 JAN: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menafikan dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan berkaitan isu persempadanan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata penyelesaian isu persempadanan darat antara Malaysia dan Indonesia tidak pernah berlandaskan prinsip timbal balik, pampasan atau pertukaran untung-rugi.

Menurutnya, rundingan berkaitan penandaan dan pengukuran di kawasan masalah sempadan tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni antara kedua-dua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta perjanjian sempadan sedia ada.

Arthur berkata, pemuktamadan pengukuran sempadan darat itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Malaysia–Indonesia pada 18 Februari 2025, selepas melalui lebih 45 tahun proses rundingan teknikal yang komprehensif dan telus.

“Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah–Kalimantan Utara (KALTARA) telah dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023.

"Proses rundingan turut melibatkan penglibatan aktif wakil kerajaan Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengukuran saintifik telah dilaksanakan berdasarkan perjanjian terdahulu bagi memastikan jajaran sempadan yang jelas, dengan penglibatan kepakaran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta agensi keselamatan.

Menurut Arthur, setiap inci pelarasan dibuat berlandaskan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Sempadan 1891, Perjanjian Sempadan 1915 dan Konvensyen Sempadan 1928, selain penggunaan koordinat geospatial yang tepat, dan bukannya atas dasar konsesi politik.

“Penetapan sempadan yang muktamad akan memperkukuhkan kedudukan perundangan negara di peringkat antarabangsa serta menutup ruang untuk sebarang tuntutan wilayah yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, pemuktamadan sempadan itu merupakan langkah strategik Malaysia bagi memastikan kedaulatan negara diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa, selain meletakkan kepentingan jangka panjang negara melebihi usaha mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai asas undang-undang.

Selain itu, Arthur memaklumkan Malaysia dan Indonesia terus mengamalkan pendekatan diplomasi melalui rundingan berterusan dalam menangani sebarang isu dan pertikaian di kawasan OBP, berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan bagi memastikan keharmonian serta mengelakkan konflik di lapangan.

Sebelum ini, media melaporkan tiga desa di Nunukan, Kalimantan Utara didakwa beralih kepada Malaysia, manakala Indonesia pula dilaporkan memperoleh tambahan kawasan seluas 5,207 hektar daripada Malaysia, meskipun pertikaian sempadan di kawasan Pulau Sebatik masih belum diselesaikan.