Inkues Zara Qairina: Saksi dakwa diarah 'jangan tengok, jangan dengar' oleh pelajar senior

23 Jan 2026, 11:22 AM
Inkues Zara Qairina: Saksi dakwa diarah 'jangan tengok, jangan dengar' oleh pelajar senior

SHAH ALAM, 23 JAN: Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu hari ini didedahkan dengan keterangan seorang saksi kanak-kanak yang mendakwa diarahkan pelajar senior agar tidak melihat atau mendengar apa-apa kejadian di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada malam 15 Julai lalu.

Saksi kejadian berkata, pada malam Allahyarham Zara Qairina Mahathir dipanggil keluar oleh pelajar senior di asrama berkenaan, tiga insiden berasingan berlaku dalam tempoh kira-kira satu jam.

Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina berkata, dua insiden pertama membabitkan dakwaan kecurian.

“Insiden ketiga ialah apabila pelajar senior membacakan sepucuk surat yang menyatakan hasrat Zara untuk menjadi ‘BADAR’ (pengawas Badan Dakwah dan Rohani).

“Ketika insiden ketiga di asrama itu, seorang pelajar senior memberitahu saksi-saksi di asrama, ‘jangan tengok, jangan dengar, jangan pasang telinga’,” katanya ketika memberi taklimat kepada wartawan mengenai prosiding hari ini seperti dilapor Harian Metro.

Menurut Shahlan, saksi kanak-kanak itu mematuhi arahan berkenaan kerana takut dimarahi.

Katanya, saksi turut menggambarkan suasana pada malam tersebut sebagai tegang dan lebih menakutkan berbanding kejadian-kejadian serupa sebelum ini, ketika disoal oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolah berkenaan pada 16 Julai, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Pada hari ke-54 prosiding inkuiri, seorang saksi kanak-kanak turut dipanggil semula untuk memberi keterangan berhubung beberapa nota tulisan tangan yang diterimanya daripada Zara Qairina, termasuk nota yang ditulis di atas kertas berwarna kuning.

“Dalam kertas kuning itu tertulis ‘Bye, kesayangan’. Apabila ditanya maksudnya, pelajar itu berkata ia bermaksud Zara memaklumkan bahawa dia hendak ke musolla,” kata Shahlan sambil menambah nota berkenaan diletakkan di dalam sebuah buku teks.

Saksi itu juga memaklumkan terdapat satu lagi nota di dalam buku teks berkenaan, namun ia kini dilaporkan hilang.

Prosiding inkuiri akan bersambung pada Isnin.