SHAH ALAM, 23 JAN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menjalankan siasatan selepas tular laporan mengenai air berwarna hitam di persisiran pantai Tanjung Sepat pada 21 Januari lalu, dipercayai berpunca daripada aktiviti penternakan babi di hulu aliran.
Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati ladang-ladang penternakan babi yang disyaki terlibat kini tidak lagi beroperasi.
"Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kolam takungan sisa yang dipercayai masih mengalir ke parit berhampiran, menghasilkan saki-baki aliran berwarna kehitaman yang mengalir ke persisiran pantai.
"Susulan penemuan itu, LUAS telah mengeluarkan Pemberitahuan Bertulis di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 kepada pihak-pihak berkenaan.
"Notis itu mewajibkan mereka menghentikan aliran sisa, melakukan pembersihan kawasan, serta melaksanakan langkah kawalan dan pencegahan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,"katanya.
Selain itu, LUAS telah melakukan pensampelan air di lokasi-lokasi terlibat dan menghantar sampel tersebut ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis dari segi kualiti air.
Menurut LUAS, hasil analisis itu akan menjadi asas kepada tindakan penguatkuasaan lanjut di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 bagi kesalahan mencemarkan sumber air.
LUAS juga berhubung dengan jabatan dan agensi berkaitan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (JPV), bagi merencanakan tindakan bersesuaian di bawah bidang kuasa masing-masing terhadap premis penternakan babi di kawasan berkenaan.




