AMPANG, 23 JAN: Kerajaan Selangor komited menangani isu pencemaran ladang babi di Tanjung Sepat menerusi pelaksanaan inisiatif penternakan moden bagi menjamin kebersihan alam sekitar dan kesejahteraan penduduk setempat.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata kenyataan pihak pembangkang berhubung isu berkenaan disifatkan sebagai tuduhan bermotifkan politik dan tidak mencerminkan usaha sebenar Kerajaan Negeri di lapangan.
“Isu pencemaran tersebut bukan perkara baharu dan telah berlaku sejak sekian lama serta menjadi antara sebab utama Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif penternakan moden ladang babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
“Dahulu, jumlah ladang dan tahap pencemaran di kawasan berkenaan adalah jauh lebih tinggi, namun kini ia berjaya dikurangkan secara signifikan melalui pelbagai langkah penambahbaikan dan inisiatif bersepadu yang dilaksanakan,” katanya kepada Media Selangor.
Izham berkata, Kerajaan Negeri bertanggungjawab memastikan masalah yang berlarutan lebih 30 tahun itu ditangani secara berkesan menerusi pelaksanaan langkah penyelesaian menyeluruh serta pemantauan berterusan.
Menurutnya, usaha ke arah penternakan moden bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan industri, malah bagi memastikan tahap kebersihan dipertingkat serta risiko pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan.
Kenyataan ini dikeluarkan Izham sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar projek penternakan ladang babi di Bukit Tagar dibatalkan.
Pada 21 Januari lalu, beberapa pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendakwa sisa ternakan babi dari ladang di Tanjung Sepat dibuang ke Selat Melaka tanpa pengurusan kumbahan yang berkesan.
Pemimpin PAS terbabit turut mempersoalkan tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam memeriksa serta memantau isu berkenaan.
Sebelum ini, Media Selangor melaporkan Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah bagi memulihkan kawasan ladang ternakan babi sedia ada di Kuala Langat supaya sesuai dibangunkan untuk aktiviti pertanian lain.
Menurut Izham, kebanyakan kawasan ladang terlibat berada dalam zon pertanian seperti kelapa sawit dan pemilik tanah mempunyai kebebasan untuk menentukan jenis aktiviti pertanian yang sesuai dibangunkan mengikut keadaan tanah masing-masing.


